KUALA TERENGGANU – Seorang ibu terharu setelah penantian selama hampir sembilan tahun berakhir apabila dua daripada enam anaknya yang belum memiliki sijil kelahiran dan Mykid berjaya didaftarkan, sekali gus menjadi warganegara Malaysia yang sah.

Dua beradik tersebut adalah Wali Al-Hadad Zulkepeli, 6, dan kakaknya Suci Sufiah Zulkepeli, 9, menerima sijil kelahiran dan Mykid yang disampaikan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohammad Nasir Kareem di Sekolah Kebangsaan (SK)  Durian Burung, di sini.

Tuan Norziana Tuan Sagar, 46, yang gembira dengan perkembangan tersebut berharap masalah yang timbul terhadap anak keempat dan kelimanya berikutan ketiadaan sijil kelahiran diselesaikan dan kedua-duanya dapat menikmati kemudahan disediakan kerajaan termasuk soal pendidikan dan bantuan persekolahan sebagaimana yang lain.  

“Sebelum ni saya susah hati fikirmasa depan mereka sebab tak ada surat beranak. Sekarang saya lega dan bersyukur dengan semua pihak yang tolong dua-dua anak saya.

“Anak kedua saya, Suci, selalu nak jadi macam orang lain. Bila orang lain dapat bantuan sekolah, anak saya tak dapat. Suci selalu sedih sebab dia suka membaca dan ke sekolah. Alhamdulillah, ALLAH permudahkan semuanya,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Aidilfitri di Sekolah Kebangsaan Durian Burung, di sini.

Mengulas punca kedua-duanya tidak memiliki sijil kelahiran, Tuan Norziana berkata, Suci Sofiah gagal didaftarkan kerana tidak mempunyai buku rawatan mengandung yang merupakan salah satu dokumen wajib bagi proses pendaftaran sijil kelahiran memandangkan ketika mengandung, Tuan Norziana membuat pemeriksaan kandungan di klinik swasta kerana adiknya merupakan panel di klinik tersebut.

“Saya ingat tak perlu buat buku merah (buku rawatan mengandung) tetapi kena buat juga. Saya pergi ke klinik desa untuk minta bantuan dapatkan buku merah tapi tak dapat. Dulu, kalau tak ada buku merah pun tak apa,” katanya.

Sementara Wali Al-Hadad pula gagal didaftarkan kerana dia terlepas tarikh untuk mendaftarkan anak kelimanya itu dan ditambah dengan masalah yang melanda keluarganya pada masa itu menyebabkan perkara tersebut tertangguh.

Dia yang hanya bekerja sebagai tukang urut berkata, kesukaran hidup memandangkan hanya dia yang bekerja dan menguruskan rumah tangga ditambah dengan suami yang uzur kerana masalah kesihatan akibat lelah dan gout menyebabkan dia terlupa untuk mendaftarkan sijil kelahiran anaknya.

“Saya usaha dapatkan surat beranak dua-dua anak. Saya tak tahu nak minta tolong siapa. Saya bukan orang sini, saya orang Manir. Ada orang cakap, kalau daftar anak lewat kena bayar RM4,000. Mana nak cari duit banyak tu. Saya buntu, sudahlah kerja kais pagi makan pagi,” katanya.

Menurutnya, walaupun anak keempatnya tidak mempunyai Mykid sebelum ini, namun dia bertegas mendaftarkan anaknya ke sekolah selepas merujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang turut meminta urusan pengenalan diri anaknya diselesaikan selepas pendaftaran masuk sekolah dibuat.

Tuan Norziana turut menasihatkan ibu bapa agar mengambil berat urusan pendaftaran Mykid anak-anak bagi mengelak masalah berbangkit terutama melibatkan urusan rasmi serta urusan penting lain yang boleh memberi kesan terhadap masa depan mereka.

Kes pertama di SK Durian Burung

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Durian Burung, Syed Husni Syed Mohammad berkata, isu pelajar tidak mempunyai kad pengenalan diri merupakan kes pertama di sekolah tersebut.

Menurutnya, perkara tersebut telah dikesan sejak pelajar tersebut masuk ke sekolah itu apabila tiada Mykid sebaliknya hanya mempunyai surat pendaftaran sementara.

“Kad pengenalan diri ini penting untuk peperiksaan dan urusan lain pada masa akan datang. Kita anggap tanggungjawab memastikan pelajar mempunyai kad pengenalan sebagai tanggungjawab kita.

“Alhamdulillah perkara ini sudah selesai dengan bantuan guru-guru, penolong kanan, pihak komuniti setempat dan masing-masing bekerjasama untuk memastikannya berjaya,” katanya.

Guru Bimbingan dan Kaunseling, Rafidah A Ghani berkata, pihaknya turut mengumpul maklumat mengenai Suci Sofiah untuk memastikan pelajar itu dapat memiliki surat beranak dan Mykid.

Menurutnya, perkara itu dianggap satu tanggungjawab besar untuk memastikan usaha tersebut berhasil memandangkan berlaku kesukaran kepada guru dalam urusan pemberian markah termasuk ujian linus dan juga bantuan persekolahan.

Katanya, melalui pengumpulan maklumat tersebut pihaknya mendapat tahu seorang lagi adik Suci Sofiah iaitu Wali Al-Hadad turut tidak mempunyai Mykid.

“Melalui guru kelas, saya kumpul maklumat dan beri kepada Yang Dipertua PIBG tetapi masih juga tidak berjaya dan kebetulan ada guru baru iaitu Cikgu Kamariah yang baru pindah ke sini, kebetulan suaminya pegawai pendaftaran dan melaluinyalah kita rujuk perkara ini.

“Kita uruskan perkara ini sejak tahun lepas kerana saya pun baru berpindah ke sekolah ini tahun lalu dan alhamdulillah dapat selesaikan tahun ini,” katanya.

JPN minta ibu bapa peka

Sementara itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu turut meminta semua ibu bapa yang merupakan warganegara Malaysia di negeri ini memastikan kesemua anak-anak memegang kelayakan warganegara yang sah dengan mendaftarkan sijil kelahiran pendaftaran anak-anak.

Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, pendaftaran sijil kelahiran akan melayakkan mendapat taraf warganegara Malaysia dan mendapat keistimewaan tertentu disediakan kerajaan termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Kita harap ibu bapa di Terengganu tidak pandang remeh sebab kita bagi masa untuk mendaftar bermula hari pertama lahir sehingga hari ke-42 kelahiran bayi. Kalau lewat akan dikenakan denda dengan maksimum adalah RM50.

“Dalam kes ini, kita turut mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Durian Burung yang memberi maklumat dan sudah tentu tugas kita JPN adalah memastikan penduduk negara kita mempunyai dokumen untuk melayakkan mereka sebagai warganegara yang sah,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa kes lewat mendaftar pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya semakin berkurang sekali gus menunjukkan kecaknaan ibu bapa di negeri ini dalam pendaftaran pengenalan diri anak-anak.

Jelasnya, isu pendaftaran lewat biasanya berlaku disebabkan ibu bapa mempunyai masalah rumah tangga sehingga urusan pendaftaran anak terabai.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Ibu bapa yang membuat pendaftaran kelahiran di semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) kini boleh menerima MyKid bayi masing-masing dalam tempoh 24 jam, bermula Rabu depan.
  • KUALA SELANGOR - Seorang bapa buntu memikirkan masa depan seorang anaknya yang sehingga kini masih belum mempunyai MyKid berikutan kesalahan ejaan pada sijil kelahiran sekali gus menimbulkan masalah untuk bersekolah.