KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda Pas mengecam kritikan yang dibuat Timbalan Pengarah Human Rights Watch (Asia), Phil Robertson berkait hukuman sebatan syariah yang dilakukan di Terengganu, baru-baru ini.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan Phil Robertson yang menyifatkan hukuman sebatan tersebut sebagai satu penderaan, pencabulan hak asasi manusia dan memburukkan imej Malaysia sebagai tidak berasas sama sekali.

“Kami mengambil serius kritikan yang dibuat sepertimana dilaporkan sebuah akhbar tempatan bertarikh 4 September 2018.

“Beliau juga tidak wajar memberikan tekanan politik kepada Kerajaan Persekutuan kerana tindakan tersebut telah mencabar kedaulatan undang-undang di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Akhbar berkenaan turut melaporkan komentar daripada seorang aktor AS, Dirk Blocker yang menggesa supaya memboikot produk-produk buatan Malaysia sehingga pihak kerajaan berhenti mendera rakyat.

“Mereka perlu sedar hubungan seks songsang dan LGBT umumnya tidak diterima dalam undang-undang dan hukum adat di Malaysia. Sesiapa yang disabitkan bersalah boleh dihukum dengan hukuman takzir seperti mana yang telah diperuntukkan oleh lunas undang-undang,” jelasnya.

Muhammad Khalil yang juga Adun Batu Burok turut menjemput Phil Robertson untuk berdialog dengan pihak berautoriti bagi mendapatkan gambaran secara keseluruhan berhubung kedudukan Islam dan perundangan syariah di Malaysia termasuk Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah yang telah termaktub di negeri-negeri.

Beliau juga merayu agar rakyat negara ini memberikan sokongan kepada pelaksanaan undang-undang syariah dan menggesa pihak autoriti tampil memberikan penjelasan secara meluas kepada masyarakat.

“Ramai lagi yang masih tidak berpuas hati dengan pelaksanaan hukuman ini termasuk pemimpin parti politik tertinggi kerajaan, walhal peruntukan ini sudah bertahun diperuntukkan dalam enakmen setiap negeri,” katanya.