DUNGUN - Walaupun tidak boleh berjalan dan hanya mengengsot untuk bergerak, seorang pemuda masih mampu menjaga neneknya yang bukan sahaja mempunyai masalah penglihatan tetapi lumpuh akibat penyakit kencing manis dihidapi.

Selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya 15 tahu lalu, Azman Afindi Mohamad, 33, dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana tidak boleh berjalan dan segala aktiviti harian dilakukan dengan mengengsot.

Menurutnya, kerana masalah kekurangan diri, dia tidak mampu untuk bekerja dan hanya mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung kehidupan.

Bagaimanapun katanya, bapanya, Mohamad Ismail, 60, dan ibu saudaranya banyak membantu termasuk menyediakan makanan harian.

"Selepas kemalangan, saya terlantar beberapa bulan dan tak boleh berjalan. Semua dilakukan dengan mengengsot," katanya.

Tinggal dengan nenek sejak kecil

Azman berkata, dia memang tinggal bersama neneknya, Pani Mat, 79, sejak dari kecil dan sehingga sekarang menjaganya.

"Dalam keadaan begini, dah tentu tak mampu nak jaga nenek dengan sempurna tapi setakat ini Alhamdulillah semuanya baik.

"Nenek dah tak boleh berjalan sejak enam tahun lalu dan mengengsot untuk bergerak. Kalau nak ke tandas, dia kena pegang dinding dan dibantu. Kadang-kadang perlu dipakaikan lampin pakai buang," katanya.

Dia ditemui ketika kunjungan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Din Adam ke rumahnya di Kampung Pulau Serai, di sini, baru-baru ini.

Katanya, besar harapannya supaya diberi kesembuhan dan dapat berjalan seperti biasa.

"Saya harap dapat jalan seperti biasa satu hari nanti. Saya bersyukur dan berbesar hati dengan kunjungan pemimpin ke rumah menjenguk keadaan kami yang serba kekurangan.

"Saya tak boleh bekerja dan tak ada kemahiran untuk buat produk kraf tangan," katanya.

Usaha bantu ringankan beban

Sementara itu, Din berkata, dia akan berusaha membantu keluarga berkenaan termasuk menyegerakan bantuan bulanan untuk warga emas berkenaan dan melihat apakah langkah terbaik untuk membantu pemuda itu.

Menurutnya, pihaknya akan turun padang bersama wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada keluarga ini.

“JKM akan membantu Azman untuk mendapatkan pekerjaan berdasarkan kebolehan atau kemahiran yang ada supaya dia tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebayak RM200.

“Dari aspek kesihatan, kita akan melihat kaedah perubatan apakah yang dapat membantu supaya dia dapat berjalan semula," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.