KUALA NERUS - Pemilihan Terengganu sebagai venue acara Equestrian Endurance atau kuda lasak dalam temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 merupakan satu pengiktirafan terhadap negeri  ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pemilihan itu bakal melakar lagi cerita kejayaan buat negeri Terengganu di samping kejayaan anak jati Terengganu dalam bidang sukan, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Siapa yang tidak kenal juara dunia kita, Mohd Azizulhasni Awang atau dikenali ramai sebagai ‘The Pocket Rocketman’. Azizulhasni, Fatihah Mustaffa, Mohd Adiq Husainie Othman, Anuar Manan dan Mohd Harrif Salleh, semuanya jaguh kelahiran Terengganu dalam sukan Lumba Basikal.

“Dalam temasya Sukan Sea kali ini, saya juga dimaklumkan bahawa seramai 73 atlet anok (anak)  jati Negeri Teganu (Terengganu) kita dipilih mewakili negara.

“Kita juga bertuah kerana dengan limpah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Negeri Terengganu telah dipilih untuk  venue Sukan Endurance. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya pada majlis prapelancaran acara Endurance Sukan Sea Ke -29 Kuala Lumpur 2017, di Mini Stadium, Gong Badak, di sini malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran acara itu.

Turut berangkat, permaisuri baginda Sultanah Nur Zahirah dan tiga anakanda baginda  berdua iaitu Tengku Nadirah Zahara, Tengku Muhammad Muaaz dan Tengku  Fatimatuz Zahara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Yang Dipertua Dun Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan  dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat turut hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Rozi ketika ditemui pemberita berkata beliau berharap dua sasaran emas bagi acara Endurance dapat dicapai oleh atlet negara berdasarkan persediaan rapi dilakukan mereka.

“Kita sasar dua pingat emas daripada sukan endurance… saya (menaruh) harapan kepada atlet-atlet endurance Terengganu ini yang terbaik setakat ini, Insya-ALLAH,” katanya.

Seramai lima daripada enam atlet acara Endurance merupakan anak jati Terengganu iaitu Muhammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah, Mohd Bulkhari Rozali, Mohd Adhwa Embong dan Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :