CHUKAI - Dua syarikat pembinaan didenda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas pertuduhan membiarkan tapak projek mereka menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy menjatuhkan hukuman itu selepas penyelia tapak binaan Asia Gulf Property Sdn Bhd, Woo Yue Thien, 40, dan penyelia tapak binaan Multielite Holding Sdn Bhd, Muhamad Ainman Bin Muhamad, 28, yang mewakili syarikat masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Dalam penghakiman itu, syarikat pembinaan Asia Gulf Property Sdn Bhd didenda sebanyak RM7,000 manakala syarikat pembinaan Multielite Holding Sdn Bhd didenda sebanyak RM10,000.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua syarikat pembinaan itu didakwa melakukan perbuatan membiak serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk Aedes Albopictus dan Aedes Aegypti yang dijumpai di dalam bekas plastik dan tangki yang berisi air di dalam kawasan tapak pembinaan masing-masing.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan dihukum di bawah Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman membuat pemeriksaan pembiakan serangga pembawa penyakit di kedua-dua tapak pembinaan berkenaan, di sini, pada Mac lalu dalam Operasi Gempur Aedes.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Mohd Rosli Abd Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat disebabkan kedua-dua syarikat itu mempunyai rekod kesalahan berulang.

Dua syarikat itu pernah ditutup di bawah Seksyen 8(3)(aa) akta yang sama dan pernah didenda oleh mahkamah atas kesalahan yang sama.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, sebanyak 3 kes tapak binaan telah dibawa ke mahkamah sepanjang tahun ini dengan denda keseluruhan dikenakan sebanyak RM22,000.

“Hukuman yang berat dikenakan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pengusaha tapak pembinaan yang lain bagi kepentingan kesihatan orang awam,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada semua syarikat pemaju tapak pembinaan agar lebih bertanggungjawab memastikan kawasan tapak binaan bebas dari menjadi tempat pembiakan aedes.

Katanya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa menjalankan operasi tapak binaan secara rutin berjadual memandangkan ia antara penyumbang peningkatan kejadian kes demam denggi.