KUALA TERENGGANU – Penternak tempatan berpeluang memasarkan hasil ternakan dan produk sampingan lain menerusi Pasar Ternakan yang pertama di ditubuhkan di Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir, di sini.

Pengarah JPV Negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pasar ternakan pertama sebagai projek perintis itu telah beroperasi pada Ogos 2016 dengan pengendalian sebanyak 70 peratus oleh kumpulan penternak dan sebahagiannya dibantu JPV.

Menurutnya, matlamat utama penubuhan pasar itu bagi memberi peluang kepada penduduk kampung serta penternak sekitar sama ada penternak tradisional atau semi komersial untuk memasarkan terus ternakan serta hasil produk di pasar itu.

"Mereka yang mengunjungi pasar ternakan dapat membeli ternakan yang baik dengan harga kompetitif terus dari tangan penternak.

“Selain itu, produk dapat dipasarkan terus dengan kawalan kualiti dan keselamatan makanan yang dijamin oleh pihak jabatan,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Termizi berkata, Pasar Ternakan itu juga berperanan sebagai pusat sehenti untuk penternak berkumpul dan berkongsi maklumat dalam memartabatkan industri penternakan.

“Dengan adanya peluang ini, kita harap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penternak di negeri ini. Jadi, kita mempelawa semua penternak yang ingin memasarkan terus hasil ternakan atau sebarang produk sampingan menyertai Pasar Ternakan ini.

“Selain sebagai berperanan membantu memasarkan produk, ia juga akan memberikan pulangan lumayan kepada mereka,” katanya.

Mohd Termizi berkata, pasar itu juga boleh dijadikan salah satu ikon baharu dan menjadi tarikan pelancong sempena Beautiful Terengganu 2017.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Penyelaras Projek Pasar Ternakan, Engku Mohd Hashimi Sayed Ahmad di talian 09-6221822

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Tindakan ‘arah tutup’ ladang ternakan akan dikenakan kepada pengusaha ladang ternakan ayam komersial yang masih enggan menggunakan sistem ternakan secara tertutup.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.