KUALA TERENGGANU - Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menyambut baik pembentangan Bajet 2019 yang turut memberi penumpuan kepada sektor pelancongan.

Ia dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara dan menyentuh segenap lapisan masyarakat.

Pengerusi PPNT, Tun Baharum Tun Abd Razak berkata, usaha untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong kapada 30 juta bagi tahun 2019 dilihat mampu dijayakan selaras dengan ketidaktentuan nilai matawang ringgit berbanding dengan matawang Euro Dollar, Pound Sterling dan USD.

Menurutnya, ia akan membantu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari barat.

"Penyediaan dana promosi dan pemasaran sebanyak RM100 juta dilihat mampu digunakan sebaik mungkin untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini kelak.

"Cuma saya berharap ada kerjasama yang holistik antara kementerian berkaitan dengan kerajaan negeri ke arah mencapai kejayaan bersama.

"PPNT juga mengalu-alukan penyediaan dana RM500 juta untuk pelancongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi sektor Kraf dan enap desa,"  katanya kepada Sinar Harian.  

Katanya, dana ini juga mampu mengeluarkan lebih ramai usahawan - usahawan kraf dan juga menambahbaik program enap desa Kementerian Pelancongan serta menambah lagi bilangan dan 'kampungstay' bagi manafaat penduduk setempat dan rakyat sekelian.

Menurutnya, PPNT juga merakam ucapan terima kasih dan amat menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan kepada kerajaan negeri.

Justeru itu, adalah diharapkan Kerajaan negeri dapat menggunakan hasil 50 peratus perkongsian hasil kutipan cukai ini untuk melakukan lebih banyak promosi pelancongan negeri.

Malah, PPNT juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk pergiatkan lagi kerja-kerja promosi yang lebih efektif.  

Begitu juga langkah pengenaan levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara melalui laluan udara bermula 1 Jun 2019 diharap dapat merangsangkan pelancongan domestik.

"Langkah ini amat tepat dengan usaha-usaha PPNT yang juga ingin menjadikan Terengganu destinasi pelancongan utama kepada pelancong domestik," katanya.