KUALA BESUT - Seorang penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) maut selepas bot yang dinaiki bersama 15 pelajar lain terbalik berdekatan muara Kuala Besut,  tengah hari tadi.

Mangsa, Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, dari Kampung Alor Pasir, Pasir Putih, Kelantan maut selepas terperangkap di dalam bot yang terbalik manakala lebih enam penumpang lain cedera.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika kejadian kira -kira jam 12.15 tengah hari itu, bot pelancong  terbabit membawa muatan kumpulan pelajar terbabit dari Pulau Perhentian untuk pulang ke jeti Kuala Besut.

Menurutnya, sebelum kejadian dipercayai bot laju itu mengalami masalah teknikal di bahagian kawalan enjin, menyebabkannya hilang kawalan dan terbalik.

"Kejadian berlaku berhampiran perairan Pulau Rhu kira -kira 5 kilometer sebelum sampai ke jeti Kuala Besut," katanya.

Mohd Zamri berkata, mangsa yang terselamat diselamatkan oleh beberapa bot lain, manakala Nurnasibah Husna dipercayai lemas  selepas terperangkap di bawah bot yang terbalik.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat manakala pelajar yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan hospital sama.

Difahamkan, kesemua pelajar terlibat dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian selepas selesai menghadiri satu program di situ.

Program tersebut melibatkan pelajar daripada pelbagai universiti awam seluruh negara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Tindakan berani sekumpulan remaja menyewa sebuah inap desa di bandar ini semata-mata untuk melepaskan gian ternyata membawa padah hari ini.
  • GUA MUSANG - Seorang pelajar Tahun Enam maut di Sungai Galas, selepas lemas ketika mandi bersama lima rakannya di sungai belakang Masjid Razaleigh, di sini, petang tadi
  • KUALA LUMPUR - JENAZAH Silawati Zailan, yang lemas dihanyutkan arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh dekat sini, semalam, selamat dikebumikan.
  • KUALA LUMPUR - Hasrat seorang adik untuk menyerahkan pakaian terpakai kepada kakaknya tidak kesampaian apabila dia hanya mampu menatap jenazah kakaknya hari ini.
  • KUANTAN - “Keadaan ketika itu sangat kelam kabut apabila salah seorang daripada kami hampir lemas," kata Azwan Mohamad, 21, adik bongsu kepada salah seorang mangsa lemas di Taman Eko Rimba Berkelah, dalam kejadian petang semalam.