DUNGUN - Pada usia 16 tahun, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD) melakar sejarah apabila menjejakkan kaki ke Artik.

Aiman Haikal Salim bersama rakannya dari Kemaman dan seorang guru terpilih mewakili Malaysia untuk menimba ilmu serta pengalaman di tempat asing itu selama dua minggu pada Ogos lalu.

Bukan pergi untuk melancong atau suka-suka, tetapi ada tugas berat tergalas di bahu mereka untuk disebarkan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Aiman Haikal berkata, dia terpilih mengikuti lawatan itu menerusi program anjuran Yayasan Antartika Sultan Mizan.

Saat membanggakan membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurutnya, walaupun tidak banyak pengetahuan mengenai Kutub Utara itu, dia teruja kerana terpilih mengikuti misi lawatan penting tersebut.

“Saya sertai pertandingan menulis esei tentang Artik dan selepas itu dipanggil temuduga.

“Saya antara 70 pelajar yang disaring dan mengikuti kem pola sains di Pusat Sains Terengganu.

“Tak sangka pula dalam ramai-ramai, saya terpilih tetapi sebelum mengikuti kem memang saya ada buat penyelidikan dan membaca tentang Artik,” katanya kepada Sinar Harian.

Aiman Haikal bersama guru dan rakannya dari Malaysia.

Tempuh pengalaman mencabar

Anak kelahiran Paka itu berkata, dia ke Artik bersama 212 peserta dari seluruh negara antaranya Mexico, Kanada, USA, Itali dan Singapura.

Menurutnya, mereka melalui pengalaman mencabar kerana untuk sampai di sana sahaja, mereka perlu menempuh 24 jam perjalanan dengan menaiki kapal besar.

“Untuk ke daratan yang dipenuhi air, kami naik pula sebuah kapal kecil. Apabila sampai antara yang dikaji haiwan dan tumbuhan apa boleh hidup di situ.

“Ketika di sana ada bongkah besar yang ada tompokan hitam. Sekiranya tompokan hitam cair ia amat berbahaya kerana air terhasil adalah racun.

“Pelbagai lagi ilmu yang ramai tidak tahu kami timba di sana,” katanya.

Aiman Haikal berkata, keadaan cuaca yang sangat sejuk juga menjadi cabaran kepada peserta.

“Memang sejuk sangat-sangat hinggakan saya kena pakai empat lapis baju. Cuaca sejuk mencecah -7°C dan kami kena sesuaikan diri.

“Cabaran besar juga kepada kami yang beragama Islam untuk solat tetapi di sana kami disediakan bilik khas.

“Saya juga berpeluang mandi laut Artik hinggakan saya demam, tapi itu semua pengalaman berharga,” katanya.

Sebar ilmu kepada masyarakat

Aiman Haikal berkata, walaupun teruja menimba pengalaman baharu, dia menggalas tanggungjawab besar untuk menyebarkan ilmu dan pesanan penting mengenai Artik dan Antartika kepada masyarakat di negara ini.

Warga SMSD yang menyokong usaha Aiman Haikal ke Artik.

Katanya, walaupun Artik jauh dari Malaysia, aktiviti yang boleh menyebabkan pemanasan global boleh menimbulkan bahaya.

“Kesannya juga di Artik dan jika ais mencair ia akan mendatangkan masalah kepada seluruh dunia.

“Oleh itu, kita kena jaga alam sekitar, hapuskan pencemaran, gunakan kenderaan awam serta mengambil pelbagai langkah yang menyokong ke arah pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, lawatan antarabangsa itu telah membuka minda dan menguji tahap kemampuan dirinya apabila berdepan rakan dari seluruh negara.

Pengalaman mencabar apabila berada pada suhu di bawah 0°C.

“Saya belajar aliran Arab dan memang tak berapa mahir bahasa Inggeris. Namun, ketika lawatan saya mampu berkomunikasi dengan peserta lain dan membina keyakinan diri.

“Saya sebenarnya menyimpan hasrat ke Jepun tetapi terpilih untuk ke sini dan impian saya sudah tercapai untuk menyertai lawatan di peringkat global,” katanya.

Angkat imej sekolah, negara

Sementara itu, Pengetua SMSD, Noor Maziah A Rahman berkata, penglibatan pelajar SMSD di peringkat antarabangsa amat membanggakan.

Menurutnya, ia membuktikan mereka mampu berada sebaris dengan pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang lain.

Pemandangan di Artik yang sempat dirakam Aiman Haikal.

“Antaranya untuk program Asian Science Camp ke Indonesia, Student On Ice ke Artik dan Sakura Science Challenge ke Jepun.

“Penglibatan dalam program sebegini bukan hanya mengangkat imej sekolah tetapi yang lebih penting memberikan pengalaman dan membantu proses pembelajaran mereka,” katanya.