DUNGUN - Pelajar miskin dan berpotensi khususnya di luar bandar akan diberikan perhatian dari segi akademik bagi mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Menerusi program Latihan Akademik Empower Ecer, seramai 300 pelajar khususnya datang dari keluarga miskin serta lemah dalam pelajaran terpilih dan berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang telah disusun.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Dungun, Datuk Din Adam berkata, selain usaha Empower Ecer, pihaknya juga sedang merancang untuk melaksanakan program khas bagi membantu golongan sasar.

“Usaha Empower Ecer membantu golongan sasar terutama anak-anak miskin di pedalaman adalah langkah yang amat baik.

“Walaupun miskin, anak-anak ini berpotensi untuk cemerlang dalam pendidikan," katanya.

Menurutnya, menerusi latihan dan motivasi, tahap pembangunan pendidikan anak-anak yatim akan lebih baik.

“Saya sendiri akan bekerjasama dengan pejabat pendidikan daerah untuk berbincang bagi membantu pelajar-pelajar berpotensi yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM.

“Menerusi Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Daerah Dungun, kita akan membantu golongan sasar ini. Bukan sahaja pelajar lemah dan miskin tetapi kita turut sasarkan pelajar cemerlang supaya wujud keseimbangan serta tiada yang diabaikan,” katanya ketika hadir ke program lawatan Empower Ecer di kampung Padang Pulut, di sini, baru-baru ini.

Sempena lawatan itu, seramai empat rumah peserta di bawah program latihan akademik diberi sumbangan duit raya dan barangan keperluan dapur.

Penerima, Suhaidah Ahammad, 15, berkata, dia bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang peserta dan pelbagai program diikuti memberi banyak manfaat kepadanya.

“Dalam peperiksaan percubaan yang terkini saya dapat keputusan 6A dan akan usaha lagi untuk pencapaian lebih baik," katanya.