KUALA BERANG - Pejabat Adun Ajil beroperasi di Markaz Pas Tok Randok, Ajil buat sementara waktu ini sebelum berpindah ke Pekan Ajil yang dijangka dalam tempoh terdekat ini.

Adun Ajil, Maliaman Kassim menerusi satu status dimuat naik di akaun Facebook Maliaman Bin Kassim turut memaklumkan telah berkunjung ke pejabat bekas Adun Ajil sebelum ini.

“Pada Khamis, 24 Mei saya bersama pihak pejabat daerah, penghulu mukim dan seorang juruteknik melawat pejabat bekas Adun sebelum ini dengan turut dihadiri saudara Makhtar (Setiausaha Majlis Tindakan Dun Ajil).

“Hasil perbincangan berdasarkan faktor-faktor tertentu, kita telah putuskan untuk menjadikan pejabat Dun sebelum ini sebagai Pejabat Adun Ajil pada penggal ini," katanya.

Katanya, urusan kelengkapan pejabat dan jika perlu melakukan pengubahsuaian akan diuruskan oleh pejabat daerah.

"Pejabat baru akan beroperasi selepas kelengkapan dan keperluan asas diselesaikan.

“Paling cepat pada pertengahan Jun ini. Sementara ini, operasi Pejabat Adun Ajil akan berpusat Di Markaz PAS Tok Randok terlebih dahulu,” katanya.

Menerusi status sama dimuat naik pada tarikh 25 Mei 2018, Maliman yang memenangi kerusi Dun Ajil dengan kelebihan empat majoriti undi dalam PRU14 lalu turut mengharapkan sokongan dan restu semua pihak.