KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri kini sedang berusaha untuk memastikan pembinaan pasar dan terminal bas Chukai, Kemaman dapat dilaksanakan setelah hampir 13 tahun perancangan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah memohon peruntukan di bawah RMK11 bagi pusingan kedua.

Menurutnya, pembentangan cadangan tersebut telah dibuat kepada Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pengambilan balik tanah telah dibuat di bawah Seksyen 3 (1) (a) iaitu untuk kegunaan awam, jadi tanah itu telah dijelaskan oleh MPK dan permohonan telah dikemukakan kepada KPKT pada 17 Mac 2015.

“Tindakan susulan telah dibuat untuk rancangan pusingan kedua pada 17 Mac 2016. Dalam mesyuarat ini, pembentangan dibuat dan seterusnya kita ada buat pembentangan khas kepada Ketua Setiausaha KPKT untuk cadangan projek terminal bas dan pasar Chukai pada 15 Jun 2016.

“Sehingga hari ini, kita masih menunggu jawapan daripada pihak kementerian untuk permohonan kita dan MPK juga telah memohon semula projek tersebut di bawah rancangan pusingan keempat,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Hanafiah Mat (Pas-Chukai) tentang status terkini projek berkenaan.

Jelas Ir Rosli, memandangkan tanah bagi projek tersebut seluas 13.5 ekar dipohon untuk kegunaan awam, terdapat kesukaran untuk menjemput pemaju yang mempunyai cadangan secara komersial.

Bagaimanapun, baru-baru ini ada pihak pemaju yang telah menghantar cadangan untuk membangunkan kawasan tersebut dengan pasar dan terminal bas berserta bangunan komersial.

“Sehingga hari ini, masih lagi di peringkat perancangan dan kita masih lagi menunggu keputusan daripada pihak kementerian dan pemaju tersebut. Insya-Allah, kita akan bina terminal bas dan pasar di tapak yang telah diambil tersebut.

“Kita faham perlunya wujud satu terminal bas bersepadu yang setaraf dengan bandar Chukai yang begitu pesat membangun dan nilai komersialnya tinggi dan tanah yang dipohon itu memang mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi.

“Kita akan terus berusaha dan Ahli Parlimen Kemaman (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) juga ambil bahagian untuk kita angkat (permohonan) dan dapatkan peruntukan dalam masa terdekat,” katanya.

FARAH SHAZWANI ALI

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.