MENGABANG TELIPOT - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini giat menjalankan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan semua penuntut yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab dengan membuang undi pada PRU14 nanti.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, usaha untuk memberi kesedaran kepada penuntut yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi turut akan dilaksanakan secara serentak.

Jelasnya, inisiatif itu bagi memberi pendedahan kepada semua penuntut akan pentingnya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

“Kita akan memastikan semua penuntut kita yang layak dan telah mendaftar untuk keluar mengundi pada PRU14 yang dijangka bila-bila masa ini.

“Pendekatan yang kita ambil ini selari dengan matlamat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan penuntut menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi apabila tiba masa pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Amanat Tahun Baru Naib Canselor 2018 di Dewan Sultan Mizan, di sini, semalam.

Jelas Nor Aieni lagi, selaku pewaris kepimpinan pada masa akan datang penuntut seharusnya sedar bahawa keluar mengundi adalah penting bagi menentukan hala tuju dan pembangunan negara yang lebih baik.

Mengulas mengenai sekiranya ada penuntut yang menyertai kempen pilihan raya atau menjadi petugas parti politik tertentu, Nor Aieni memaklumkan ia perlu mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971).

“Berkaitan pembabitan pelajar dalam berkempen, kita akan lihat dari segi penglibatan mereka sama ada ia boleh menimbulkan suasana tak tenteram dalam kampus, kita akan ambil tindakan seperti mana digariskan dalam undang-undang AUKU 1971,” katanya.