MARANG - Kemudahan pasar Binjai Rendah diwujudkan bagi membolehkan kemudahan itu dijadikan sebagai pasar harian seterusnya membantu peniaga kecil memasarkan hasil jualan mereka.

Malah golongan petani dan nelayan sungai juga dapat memasarkan hasil tanaman serta tangkapan terus kepada pelanggan bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih daripada biasa.

Namun keadaan itu tidak berlaku di pasar Binjai Rendah yang dilihat kosong sehingga menjadi persoalan kenapa tiada peniaga berminat untuk menjalankan perniagaan pada setiap hari di pasar berkenaan.

Penduduk mendakwa pasar itu hanya beroperasi dua hari dalam seminggu iaitu pada Ahad dan Khamis apabila perkarangan parkir kereta di pasar berkenaan dijadikan sebagai tapak pasar giliran mingguan.

Selebihnya, lima hari lagi keadaan pasar berkenaan sunyi sepi tanpa peniaga apatah lagi pelanggan. Keadaan itu sekaligus tidak menepati sasaran kemudahan sebuah pasar yang telah menelan belanja tinggi.

Sehubungan itu, rata rata penduduk ditemui memohon pihak berkuasa berkaitan termasuk wakil rakyat berbuat sesuatu supaya pasar tersergam megah itu beroperasi sebaiknya seperti sebuah pasar.

Sementara itu, Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong ketika dihubungi hari ini berkata, keadaan itu sudah dimaklumkan kepada pihaknya sebelum ini dan beberapa perancangan sedang diaturkan.

Menurutnya, pihaknya juga sedang berbincang beberapa perkara dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan imej pasar berkenaan malah beberapa pasar lain dalam kawasan Dun Pengkalan Berangan.

"Kita sudah berbincang mengenainya termasuk beberapa bangunan kemudahan (lain) yang telah siap tetapi masih belum digunakan namun tidak dapat diumumkan lagi kerana masih dalam peringkat kajian.

"Ia termasuk keadaan di pasar Binjai Rendah malah merancang menarik lebih ramai pengunjung mengunjungi pasar Wakaf Tapai serta pasar Pengkalan Berangan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk menghidupkan semula tiga pasar harian berkenaan yang terdapat di dalam kawasan Dun Pengkalan Berangan itu.