SEBERANG TAKIR - Program pasar percuma atau free market  akan terus diperluas bagi mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan di samping membudayakan amalan menderma dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selain menderma kepada mereka yang memerlukan, program itu juga turut berupaya membantu golongan peniaga kecil.

Menurutnya, kerajaan negeri menyambut baik penganjuran aktiviti yang diadakan oleh badan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta agensi yang berkaitan ini kerana inisiatif diambil itu sangat baik.

“Program ini tidak melibatkan peruntukan daripada kerajaan, sebaliknya ia merupakan hasil yang didermakan golongan berkemampuan untuk menjalani kehidupan lebih baik.

“Jadi, kita harap program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memastikan budaya menderma dan prihatin ini akan menjalani amalan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan perasmian pasar percuma di Kampung Baru, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Razif lagi, program sama juga telah diadakan di dua tempat lain sebelum ini iaitu di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Bandar Muktafi Billah Shah, Dungun.

Sementara itu, pasar percuma di Kampung Baru semalam yang turut disertakan bersama pasar tani berjaya memberi manfaat kepada lebih 1,000 peserta dengan nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM20,000.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERLIMAU - Kelab Sukan dan Kebajikan Staf Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menganjurkan program Free Market bagi mendidik warga institusi itu sentiasa prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik.
  • SUNGAI TONG - Pasar percuma yang dilancarkan buat julung kali di Pasar Awam Sri Langkap oleh Majlis Daerah Setiu (MDS), semalam mendapat sambutan hebat daripada penduduk dan penyumbang di daerah itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.