KUALA TERENGGANU - "Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini adalah satu hadiah tidak ternilai bagi saya sempena Hari Ibu kali ini," demikian luah Fadilah Abd Wahab, 48, ibu kepada Ulya Insyirah Muhamad Sardi, seorang kanak-kanak yang meninggal dunia kerana kecuaian Hospital Besut, pada Disember 2015.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini membenarkan permohonan Fadilah dan suami, Muhamad Sardi Saad, 42, selaku plaintif membuat tuntutan keadilan bagi pihak Ulya Insyirah melalui Tetuan Syukran Noordin Advocates &Solicitors.

Hakim, Datuk Zainal Azman Ab Aziz mengarahkan defendan yang terdiri daripada 10 doktor, dua pengarah Hospital Besut dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)  serta Kerajaan Malaysia membayar tuntutan ganti rugi am sebanyak RM600,000, ganti rugi teladan RM200,000 dan ganti rugi khas RM96,792.13.

Fadilah berkata, keputusan yang memihak kepada pihaknya ini bukan sahaja satu kemenangan untuk arwah tetapi sekaligus dapat membersihkan nama dia dan suami yang dituduh sengaja mereka-reka cerita berhubung kecuaian pihak hospital sebelum ini.

"Kami dipandang serong oleh masyarakat sekeliling kerana kononnya menuduh kami tidak dapat menerima ketentuan Ilahi dan sengaja mengada-adakan cerita semata-mata hendak mendapatkan duit 'percuma'.

"Sedangkan masyarakat tidak tahu tujuan asal kami adalah kerana hendak memberi pengajaran kepada pihak berkenaan agar tragedi yang menimpa arwah tidak akan berlaku lagi kepada keluarga lain.

"Kami juga harap dengan kejadian ini dapat dijadikan pengajaran pihak berkenaan dan akan memperbaiki mutu perkhidmatan kepada orang awam," katanya dalam nada sebak.

Sebelum ini, pasangan guru ini memfailkan saman RM10 juta terhadap doktor dan Hospital Besut kerana mendakwa cuai hingga mengakibatkan kematian anak perempuan mereka berusia empat tahun.

Pasangan itu menuntut ganti rugi am kerana kecuaian pihak berkenaan yang didakwa hingga menyebabkan kematian anak mereka akibat bengkak dalaman serius kerana kemasukan air atau lebihan ubat rawatan.

Sebelum ini, pada 5 Disember 2015, arwah, anak bongsu daripada tiga beradik dibawa ke Hospital Besut kerana disebabkan muntah-muntah sebelum menerima rawatan susulan dengan dimasukkan air.

Tidak lama kemudian, tangan dan badannya bengkak sebelum Fadilah bertanyakan doktor yang merawatnya kenapa macam itu, tetapi doktor berkenaan memberi jawapan tidak tahu dan beredar.

Bagaimanapun, disebabkan tidak berpuas hati, kira-kira jam 11 malam, hari sama, Fadilah memohon agar dilakukan pemeriksaan X-ray dan hasilnya mendapati ada tompokan putih iaitu lebihan air dalam paru-paru.

Ketika itu, arwah dikatakan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum datang seorang doktor memasukkan ubat dan kerana kelemahan material seperti plug rosak serta kehabisan gas serta ketiadaan kepakaran, arwah dikejarkan ke HSNZ, kira-kira jam 5 pagi, keesokan hari.

Bagaimanapun, setibanya di sana kira-kira jam 6.50 pagi, arwah dimasukkan ke wad rawatan rapi sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.05 pagi.

Susulan tragedi itu, pasangan berkenaan mengalami trauma tidak dapat tidur, makan atau melaksanakan tugas seharian dengan sempurna hingga memaksa mereka mendapatkan rawatan terapi mental serta emosi bersama Pakar Psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.