KUALA TERENGGANU - Calon Dun Bandar, Ahmad Shah Mohamed yakin Pas mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi itu pada PRU14 nanti, walaupun 35 peratus daripada pengundi di kawasan itu bukan Melayu.

Ahmad Shah berkata, keyakinan dibuat bersandarkan sokongan diterima parti daripada pengundi bukan Melayu selain kekuatan Pas sendiri sebagai parti berwawasan tinggi menjaga kebajikan serta kepentingan rakyat pelbagai kaum dan lapisan.

“Kita dapati masalah pengundi di Dun Bandar sama ada Melayu mahupun bukan Melayu sama sahaja iaitu masalah kos sara hidup yang tinggi.

“Sekiranya Pas mendapat mandat pada hari pengundian PRU14  bulan depan, masalah kos sara hidup dan beberapa isu lokal dihadapi  samada oleh kaum Melayu ataupun bukan Melayu di Dun Bandar akan menjadi janji dan tumpuan Pas untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada  ketika Sinar Harian selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU14 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, malam semalam.

Calon berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) ini merupakan antara 15 calon baharu di kerusi Dun dalam PRU14 nanti.

Sebelum ini, Dun Bandar dimenangi oleh calon PKR, Azan Ismail dengan kemenangan 9,413 undi   mengalahkan calon BN, Datuk Toh Chin Yaw, 7,254 undi.