ALOR LINTANG – Ibu bapa diingatkan agar memantau pergerakan anak masing-masing supaya tidak berada di tempat tidak sepatutnya atau terlibat dengan aktiviti tidak sihat.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pembentukan disiplin anak-anak bermula dari rumah, termasuk mengawal aktiviti mereka seperti mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan dan ke mana mereka pergi.

Menurutnya, langkah itu dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan anasir kurang sihat yang boleh memudaratkan di kemudian hari.

“Pokok pangkal bermula di rumah. Ambil tahu ke mana anak kita pergi dan kawal dengan siapa mereka berkawan. Selepas ibu bapa, barulah sekolah dan terakhir penguatkuasaan,” katanya merujuk kejadian mengorbankan lapan remaja akibat dirempuh sebuah kereta di Johor Bahru, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin-pemimpin Pelajar 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2, di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi; Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Yasmin Yusof; Pengetua SMK Tengku Mahmud 2, Che Zainum Che Salleh dan Pengerusi PIBG, Hazmin Mat Yusof.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, di Johor, beliau mengarahkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari setiap Ibu Pejabat Polis Daerah supaya pergi ke sekolah  dua minggu sekali untuk bertemu dengan guru disiplin.

Menurutnya, pegawai polis akan mendapatkan senarai nama pelajar dikenal pasti mempunyai masalah disiplin yang ketara.

“Kita akan panggil pelajar bersama ibu bapa untuk diberi nasihat. Mereka akan dipanggil sekiranya pihak sekolah tidak dapat menangani pelajar bermasalah itu,” katanya.

Tambah Wan Ahmad Najmuddin, sekiranya ibu bapa memberi perhatian kepada anak-anak remaja, sudah tentu banyak perkara buruk dapat diatasi.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, beliau sempat memberi motivasi kepada pelajar agar tidak kecewa sekiranya mengalami kegagalan atau mendapat keputusan akademik kurang cemerlang.

Kata Wan Ahmad Najmuddin, beliau sendiri bertekad untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang ketika berkhidmat sebagai pegawai polis apabila berasa rendah diri kerana sering beri ceramah kepada pensyarah dan pegawai tinggi kerajaan ketika baru berkhidmat dahulu.

“Kegagalan bukan bermakna kita tak berpeluang untuk berjaya, tetapi kita kena berubah dan berusaha untuk membaiki diri. Saya dulu pun nakal dan susah juga, tapi alhamdulillah saya mampu jadi seperti sekarang sebab saya sentiasa berusaha membaiki diri,” katanya yang merupakan anak jati Besut.

Selain SMK Tengku Mahmud 2, beliau turut hadir ke SMK Kuala Besut dan SMK Alor Peroi untuk majlis sama serta SMK Tembila.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Ibu bapa disaran mempelajari teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai panduan dalam masa sama bantu mereka memantau aktiviti anak terutama sejak kerajaan negeri memberikan e-Book kepada mereka.