BUKIT TUNGGAL - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memandang serius berhubung empat kes demam denggi yang direkodkan di Seberang Takir sejak seminggu lalu.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terutamanya penduduk di kawasan berisiko untuk segera menggerakkan aktiviti gotong-royong.

"Kejadian empat kes demam denggi yang berlaku di Kampung Batin, Seberang Takir sejak seminggu lalu perlu diambil iktibar oleh semua pihak khususnya pemimpin setempat.

"Ancaman demam denggi jangan sesekali dipandang remeh kerana ia boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera.

"Sehubungan itu, saya meminta semua pihak khususnya penduduk yang tinggal di kawasab berisiko untuk sentiasa memastikan kawasan sekeliling bersih serta bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Pas Kawasan Kuala Nerus di Batu Enam, di sini.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, pemimpin setempat juga disaran untuk mengadakan aktiviti gotong-royong secara lebih kerap bagi memastikan kawasan sekeliling bersih dan bebas daripada ancaman penyakit yang merbahaya.

"Apa yang lebih penting setiap anggota masyarakat perlu menpunyai sikap prihatin dan cakna dengan kebersihan bukan sahaja di dalam rumah, malah di kawasan sekitar luar kediaman masing-masing.

"Ia bukan sahaja memberikan lebih jaminan keselamatan, malah menjadikan kehidupan lebih selesa dan sihat," katanya.