KEMAMAN - Tiga nelayan asing yang menggunakan taktik memalsukan dokumen pengenalan bot untuk menceroboh dan menangkap gamat serta ikan secara haram berjaya ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur.

Kesemua bot terbabit dipercayai dari Vietnam dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan dan gamat di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia oleh kapal ronda Maritim Malaysia pada Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, bot pertama ditahan pada 28 September lalu pada jam 7.35 petang dalam kedudukan lebih kurang 40 batu nautika dari Kuala Kemaman dan tujuh batu nautika dari Tanjung Dungun.

“Semasa kapal menghampiri bot tersebut, bot itu mengambil tindakan dengan memotong tali tunda pukat. Hasil pemeriksaan terdapat anggaran lebih kurang 50 kilogram (kg) gamat hidup di dalam bot tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati awak-awak tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan bot disyaki menggunakan lesen dan permit palsu,” katanya.

Tambah beliau, bot kedua dan ketiga ditahan pada 30 September lalu kira-kira jam 6 dan 6.18 petang pada kedudukan lebih kurang 48 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Muhamad Rezal berkata, semasa ditahan bot sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding dan sejurus pemeriksaan lanjut dijalankan dijumpai kira-kira 1,000 kg ikan campur dan terdapat 20,000 liter minyak diesel dalam kedua-dua bot tersebut.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua bot mendapati bot gagal mempamerkan lesen bot yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan 25 awak-awak termasuk tekong tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Nombor pendaftaran pada badan bot juga dipercayai palsu.

“Tangkapan ini adalah hasil aduan daripada orang awam yang mengatakan terdapat bot nelayan Vietnam melakukan aktiviti menangkap gamat di perairan Kuala Dungun kelmarin," katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan adalah berumur antara 16 hingga 52 tahun.

"Nilai ketiga-tiga bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM2.2 juta,” katanya.

Tambahnya, bot telah dibawa masuk ke Pangkalan Maritim Kema-man untuk ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Sepanjang operasi dijalankan pada 2017, Maritim Malaysia Kemaman telah berjaya membuat 34 tangkapan setakat ini.