MOTOBIKE
$entry.content.caption.value

KUALA TERENGGANU – Penunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini bakal menikmati pakej pelancongan baru ‘tunggang dan menyelam’ ketika berada di Terengganu bermula tahun depan.

Pengarah Tourism Terengganu, Mohd Nasir Kushairi berkata, pendekatan itu diambil kerana mendapati ramai pelancong tempatan dan asing berminat menunggang motosikal dengan menjelajah pelbagai destinasi pelancongan di negara ini.

Menurutnya, melalui pakej pelancongan baru ini, penunggang tempatan dan luar negara bukan sahaja dapat meneruskan aktiviti itu, malah berpeluang menyelam di beberapa destinasi yang terkenal dengan keindahan batu karang diperingkat antarabangsa antaranya di Pulau Perhentian, Redang dan Kapas.

“Saya yakin pakej baru ini bukan sahaja dapat menarik perhatian pelancong asing, malah disambut baik pelancong dengan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan dalam aktiviti ekspedisi mereka.

“Malah ini adalah antara usaha awal kita dalam memperkenalkan negeri ini terutamanya kepada pelancong asing menjelang Tahun Melawat Terengganu pada 2013,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum melepaskan peserta konvoi bermotosikal besar Cuti-Cuti 1Malaysia On 2 Wheels - Big Bike Rally 2011 di Primula Beach Resort Hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Program dan Penjenamaan Big Bike Rental & Tours, Stephen Ronee Lau.

Sementara itu, Stephen berkata, program berkenaan merupakan satu usaha permulaan untuk memperkenalkan pakej menjelajah Malaysia dengan motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Menurutnya, seramai 48 penunggang berusia antara 25 hingga 59 tahun telah menyertainya sejak Ahad lalu dengan menjelajah lebih 1,500 kilometer melibatkan beberapa negeri antaranya Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan akan berakhir di Pahang.

“Kita akan menjelajahi tujuh tempat bermula di Putrajaya, Sabtu lalu dan seterusnya ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Terengganu adalah destinasi keenam sebelum berakhir di Pusat Pemuliharaan Gajah Negara di Kuala Gandah esok (hari ini),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketika berada di Terengganu, peserta konvoi berpeluang melawat beberapa destinasi pelancongan yang popular di negeri ini antaranya di Taman Tamadun Islam, perusahaan keropok lekor di Losong, Pasar Payang dan Pantai Batu Burok.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.