KUALA TERENGGANU - Sedih dan memalukan, itulah yang boleh digambarkan selepas melihat rakaman video perbuatan khianat sekumpulan remaja yang tergamak memalukan lelaki dikenali 'Pak Ya Cong Codei" dengan mengikat kedua-dua tangannya dibelakang sambil membuka seluar dan menaburkan debu pada kemaluannya.

Mangsa yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) lemah dari segi mental dipercayai 'diserang' kumpulan itu ketika berada di Pantai Batu Burok, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

Video berdurasi tujuh saat itu dipercayai direkodkan salah seorang daripada 'pengkhianat' itu sebelum dikongsikan dan ditularkan di dalam Facebook Gabungan Anak Terengganu kononnya dengan niat untuk bergurau dan dijadikan bahan lawak.

Turut didengari didalam video tersebut suara riuh rendah kumpulan remaja itu ketawa dan mempersendakan 'Pak Ya Cong Codei' sambil bertindak cuba membakar punggungnya dengan mancis serta menabur debu pada kemaluannya.

Video berkenaan mendapat kecaman yang sangat hebat daripada netizen kerana tergamak mengaibkan OKU sehingga ada yang sarankan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, 'Pak Ya Cong Codei'  47, hadir sendiri ke Balai Polis Daerah Kuala Terengganu untuk membuat laporan berkaitan kejadian.

Difahamkan sebelum ini'Pak Ya Cong Codei' sering menghiburkan pengunjung Pantai Batu Burok sebagai seorang pemuzik jalanan dan kebiasannya orang ramai akan memberi upah RM2.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, mangsa yang beralamat dari Wakaf Tapai mendakwa semasa berada di Pantai Batu Burok, ada sekumpulan remaja termasuk lelaki dan perempuan melakukan khianat kepadanya.

"Dia mendakwa mereka membuka seluarnya, mengikat tangan dibelakang dan membakar punggung dengan mancis selain menabur debu di kemaluannya," katanya.

Jelasnya, mangsa mendakwa mereka ada merakam kejadian itu dan menyebarkannya di laman sosial sehingga dia merasa malu.

Susulan laporan itu juga, katanya, dua remaja perempuan berusia 17 tahun dan berasal dari Hulu Terengganu ditahan untuk bantu siasatan.

"Sekarang kita akan membuat siasatan lanjut untuk mengetahui motif kumpulan remaja ini berbuat demikian kepada mangsa.

"Kita juga sudah mampas kesemua telefon bimbit bagi mencari siapakah yg merakam video tersebut," katanya.

Idris berkata, pihaknya juga sudah membuat pemohonan kepada Surahanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membuat pengesahan video yang ditularkan.

" Dalam masa sama, mangsa sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.