KUALA TERENGGANU - Gara-gara memecah masuk restoran milik bekas majikannya, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Mohamad Adam Shafie, 30, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, pada 18 September lalu, kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah restoran di Kubang Badak, Kuala Nerus, tertuduh telah melakukan pecah rumah dengan memasuki bangunan yang dijadikan sebagai kedai makan, bertujuan melakukan kesalahan mencuri.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Berdasarkan fakta kes, pada 18 September lalu kira-kira jam 1.50 pagi, pengadu yang berada di rumahnya, telah membuat pemantauan rakaman CCTV kedai makan miliknya di Kubang Badak.

Bagaimanapun, dia mendapati, seorang lelaki memecah masuk dan berada di kaunter dalam kedai sedang memegang tabung derma.

Kira-kira jam dua pagi, pengadu sampai di kedai dan kira-kira jam 2.10 pagi, pengadu bersama-sama dengan polis lihat suspek melarikan diri ke bahagian dapur dan berjaya ditangkap sedang bersembunyi dalam longkang di bahagian dapur.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.