KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur berjaya menahan 17 bot nelayan asing dan merampas bot dan peralatan bernilai RM34 juta sepanjang Ops Pagar Laut yang lalu.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, pihak Maritim melakukan 600 pemeriksaan sepanjang operasi selama sebulan, iaitu dua minggu sebelum dan selepas perayaan itu.

Menurutnya, kebanyakan bot yang ditahan adalah dari Vietnam, manakala 87 nelayan ditahan berusia antara 21 hingga 60 tahun.

“Selain rondaan dan penguatkuasaan, kita mendapat bantuan daripada Unit Udara Maritim sepanjang ops ini, di mana mereka membuat penerbangan kerap di kawasan tertentu bagi membantu kita mengesan bot-bot ini.

“Nelayan tempatan juga ada menyalurkan maklumat, tetapi kebanyakan bot yang dikendalikan nelayan negara ini adalah kelas A dan B, kawasan mereka agak terhad dan tidak keluar jauh ke laut dalam.

“Kebanyakan nelayan asing ini dari kelas C, yang beroperasi lebih 30 nautika ke atas. Bagaimanapun, jumlah tangkapan dalam operasi kali ini meningkat kerana kita ada kekuatan aset yang lebih, di samping penguatkuasaan yang ketat sepanjang tempoh itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Ibu Pejabat Daerah Maritim 9 (DM9), Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh kepada Kepten Maritim Rahim Ramli, di sini hari ini.

Rahim yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Sabah, menggantikan Zainolabidin yang bersara wajib.

Mamu berkata, kebanyakan bot nelayan kelas C menggunakan khidmat nelayan asing yang mempunyai permit, sama ada dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

“Sebab itu ada kalanya nelayan asing ini memberitahu rakan negara mereka (tanpa permit) jika Maritim tiada di situ, menyebabkan ada yang menceroboh perairan negara bagi menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Kawasan kita besar iaitu 127,000 km persegi, kalau nak kawal sepenuhnya, kita perlu letak 20 aset sehari untuk kawalan. Tetapi memandangkan kemampuan aset kita yang terhad, Maritim hanya boleh letak 7 aset sahaja di kawasan panas. Ini adalah cara terbaik bagi mengekang pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan bot dan 18 nelayan asing termasuk seorang tekong warganegara Vietnam yang disyaki menangkap ikan secara haram di perairan Pulau Tioman, petang semalam.
  • KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) memerlukan tempoh 30 minit setelah menerima aduan untuk menggerakkan asetnya bagi menangani penangkapan ikan secara haram di perairan Sabah.
  • YAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari enam pemancing serta seorang tekong bot pancing yang hilang di perairan barat laut Pulau Bunting, Yan, semalam, diperluaskan.
  • KUCHING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuching menahan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh kawasan perairan Sarawak untuk menangkap ikan, Selasa lalu.
  • KUALA KURAU - Tindakan pantas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pangkalan Kuala Kurau memberi bantuan kecemasan kepada seorang nelayan sakit di tengah lautan berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.