KEMAMAN - Operasi pemadaman kebakaran tiga tangki minyak mentah milik kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, operasi itu ditutup selepas didapati tiada lagi punca-punca yang boleh mencetuskan kebakaran selain tangki-tangki minyak mentah yang tidak terbakar telah dilakukan penyejukan dan kembali ke suhu normal.

Menurutnya, ekoran penutupan operasi itu, kerja-kerja penyiasatan kebakaran akan dijalankan mulai esok sehingga Khamis ini untuk mengetahui punca kejadian itu berlaku.

Katanya, sekiranya sehingga Khamis pihaknya masih gagal mengenal pasti punca kebakaran, proses siasatan akan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati dan berjaya mengenal pasti punca-punca kebakaran berkenaan.

"Kita akan siasat punca kebakaran, punca kedua-dua tangki meletup dan kami juga akan membuat penyiasatan kepada mana-mana ruang tangki yang mungkin menjadi penyebab kepada berlakunya kebakaran dengan begitu pantas.

"Siasatan yang dibuat melibatkan keseluruhan kawasan kilang ini, sama ada ia berpunca dari berlaku kebocoran dan sebagainya. Insya ALLAH, kami akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik atau pengawal keselamatan di sini dalam menjalankan proses siasatan berkenaan," katanya pada sidang media mengenai pengisytiharan penamatan operasi berkenaan di KBC, Teluk Kalong, petang tadi.

Mengulas lanjut, Sharikan berkata, kerja-kerja penyiasatan kebakaran itu akan dijalankan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran JPBM, Edwin Galan Teruki bersama pasukan JPBM Putrajaya.

Insiden kebakaran tiga tangki minyak mentah berkenaan berlaku kira-kira jam 6.15 petang, Khamis lalu sebelum ia berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.40 petang, semalam.

Operasi pada hari terakhir berkenaan melibatkan seramai 120 keanggotaan dari hampir keseluruhan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Terengganu dan mereka turut menjalankan kerja-kerja pembersihan, mengemas dan menyimpan semula peralatan yang digunakan sepanjang operasi berkenaan dijalankan.