KUALA TERENGGANU - Operasi mencari mayat kedua yang gagal dikesan selepas dimaklumkan penemuannya oleh nelayan tempatan, kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang, semalam diteruskan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) DM9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, operasi menggunakan bot Maritim digerakkan semula ke lokasi dimaklumkan kira-kira jam 7 pagi tadi.

“Semalam kita gagal menemui semula mayat dimaksudkan disebabkan nelayan yang menjumpai mayat kedua itu tidak menunggu sehingga pihak berkuasa tiba di lokasi kerana keadaan laut yang bergelora dan amat membahayakan.

“Selepas sejam pencarian dijalankan semalam, tiada sebarang maklum balas diterima, bagaimanapun hari ini, kita masih meneruskan operasi pencarian agar dapat menemui semula mayat dimaksudkan,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan, hari ini.

Dalam masa sama, Rahim meminta kerjasama orang ramai terutama nelayan yang menjumpai semula mayat tersebut dapat menghubungi terus Pusat Operasi (PUSOP) di talian 09-6224357 agar tindakan segera dapat dilakukan.

Semalam, akhbar ada melaporkan satu mayat ditemui hampir reput di lebih kurang 4.6 batu nautika dari timur Pulau Kapas, Marang kira-kira jam 12 tengah hari manakala satu lagi mayat masih dalam proses pencarian.

 


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :