KUALA TERENGGANU – Penahanan dua warga asing warganegara Indonesia di sebuah tapak pembinaan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu ketika operasi mega Jabatan Imigresen (JIM) negeri semalam, membongkar penggunaan Enforcement Kad atau E-Kad palsu dalam kalangan warga asing di negeri ini.

Pengarah Imigresen Negeri, Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, penemuan dua e-kad palsu itu adalah kes pertama di negeri ini sejak penguatkuasaan dijalankan selepas penutupan pendaftaran E-Kad pada 30 Jun lalu.

“Susulan daripada operasi yang dijalankan semalam bermula jam 9 pagi hingga 3 petang oleh 11 anggota bahagian penguatkuasaan, seramai 28 warga asing diperiksa dan lapan daripada mereka berusia 20 hingga 40 tahun dari Indonesia ditangkap atas pelbagai kesalahan.

“Empat orang ditahan mengikut seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, tiga orang ditahan mengikut seksyen 6(1)(c) kerana tiada permit sah dan tinggal lebih masa, dan seorang lagi ditahan mengikut seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana disyaki melanggar syarat pas, permit dan pas sempadan,”  katanya ketika sidang media di pejabat Imigresen, di sini, hari ini.

Wan Suhaini berkata, daripada lapan yang ditangkap, pihaknya mendapati dua daripada mereka mengemukakan E-Kad palsu berdasarkan fizikal kad berlainan, selain tiada rekod pendaftaran dibuat hasil daripada semakan sistem.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Ajil untuk siasatan lanjut dan operasi mengesan E-Kad palsu ini akan dijalankan secara berterusan daripada masa ke masa,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 1,827 E-kad dikeluarkan pihaknya untuk pendaftaran di negeri Terengganu sehingga 30 Jun 2017 lalu.

“Selepas selesai pendaftaran, pihak kami sudah pun melaksanakan penguatkuasaan di seluruh negeri atau negara bagi mengesan sekiranya berlaku masalah ini.  Selepas pendaftaran E-Kad ditutup, sebanyak 28 operasi sudah dijalankan manakala 123 ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.