CHALOK BARAT - Seorang lelaki kurang upaya (OKU) gembira apabila menerima sumbangan sebuah kerusi roda baharu yang disampaikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setiu.

Mohammad Ramli, 31, yang mengalami masalah cacat fizikal dan tidak dapat berjalan amat teruja untuk berhari raya menggunakan kerusi roda baharu yang diterimanya, kelmarin.

Dia yang turut mengalami masalah epilepsi atau sawan sudah pun membeli sepasang baju Melayu berwarna merah untuk dipakai pada pagi raya nanti.

Mohammad atau mesra disapa Mat gembira sehingga mahu mencuba kerusi roda itu setelah diterimanya kelmarin di halaman rumah dan dibantu ibunya, Rokiah Abu Bakar, 62.

Rokiah berkata, ekoran keterujaan itu, Mat banyak cakap tidak seperti sebelum ini dan jelas sekali dari raut wajahnya yang cukup gembira dengan kerusi baharu itu.

"Senang nanti nak bawa Mat pergi Hospital Setiu untuk terima rawatan susulan.

"Sebulan sekali makcik akan hantar dia pergi hospital. Tapi kalau tahap kesihatannya kurang baik, lebih kerap dia kena pergi hospital," katanya.

Katanya, dalam keadaan anaknya begitu, kerusi roda sangat diperlukan kerana kadang-kadang apabila sampai di hospital, dia terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan kerusi roda yang disediakan di hospital.

"Bila dah ada kerusi roda sendiri, senang urusan makcik nak bawa dia ke sana sini," katanya.

Hadir sama ketika penyerahan kerusi roda, Penolong Pegawai Daerah Setiu, Azmidi Abdullah dan Pegawai Kebajikan Daerah Setiu, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit.

Ditanya mengenai anak kelima daripada enam beradik itu, Rokiah berkata, pada awal kelahiran Mat, dia mengalami masalah jaundis yang tinggi sehingga memberi kesan kepada otaknya tetapi sempat bersekolah sehingga darjah enam.

Selepas itu, Mat tidak dapat lagi bersekolah di sekolah biasa dan kini mengikuti pendidikan di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Chalok Barat.

“Cikgu PDK selalu datang rumah, dia belajar di rumah sahaja sebab susah nak bergerak ke sekolah sejak diserang sawan dan tak boleh berjalan lagi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Tidak ramai masyarakat orang kurang upaya (OKU) yang mendaftarkan diri dalam Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) walaupun sudah lama diwujudkan pihak kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
  • KUALA PILAH - Walaupun mereka tergolong dalam kategori cacat fizikal, itu tidak menghalang golongan terbabit untuk bekerja seperti individu normal menerusi program-program yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.