KUALA TERENGGANU – Biarpun dilahirkan sebagai autisme, namun Muhammad Danial Zainuddin, 16, berjaya membuktikan kekurangan dihadapi itu bukan penghalang baginya memperoleh 9A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan semalam sekali gus mencatatkan rekod pertama khususnya di Terengganu.

 
Malah, kegembiraan pelajar istimewa dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik yang mula dikesan mengalami autisme ketika berusia dua tahun apabila didapati sukar berkomunikasi serta menyesuaikan diri de­ngan persekitaran itu turut dikongsi bersama adiknya, Nurul Diana, 15, yang turut meraih kecemerlangan serupa.
 
Menurut anak sulung pasangan Zainuddin Muhamad, 47, dan Rozina Mohd Ikram, 47, daripada Durian Burung itu, antara rahsia kejayaannya adalah sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu dalam kelas serta meluangkan masa antara satu hingga dua jam di rumah bagi mengulangkali pelajaran bersama adiknya, Nurul Diana.
 
“Saya gembira dengan kejayaan ini dan ia sebenarnya bukan hasil usaha saya seorang sebaliknya pelbagai pihak termasuk ibu bapa, cikgu serta pihak sekolah. 
 
“Kejayaan ini diharapkan sedikit-sebanyak dapat dijadikan suntikan semangat kepada rakan yang senasib dengan saya agar tidak menjadikan kekurangan sebagai halangan,” katanya.
 
Kata Muhammad Danial, ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiga tahun lalu, dia turut berjaya mendapat 5A dan kejayaan demi kejayaan tersebut diharapkan menjadi platform untuk meningkatkan lagi sema­ngat belajar bersungguh-sungguh pada masa hadapan bagi mencapai cita-citanya bergelar pensyarah.
 
Kegembiraan insan istimewa yang pernah menerima Tokoh Pelajar sempena Hari Guru Peringkat Negeri dua tahun lalu ini dikongsikan bersama Sinar Harian sewaktu ditemui di sekolahnya, di sini, semalam dan dia adalah satu-satunya pelajar pendidikan khas yang menduduki PMR di sekolah tahun ini.
 
Sementara itu, Rozina menganggap kejayaan diraih kedua-dua anaknya itu terutamanya Muhammad Danial suatu yang berharga dan tidak mampu dibeli dengan wang sekali gus membuktikan pe­ngorbanannya melepaskan jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat korporat semata-mata ingin memberi tumpuan kepada anak sulungnya itu berbaloi.
 
“Kejayaan anak saya ini pastinya memberikan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan keputusan melepaskan jawatan dengan gaji lumayan demi menjaga anak terutamannya memberi tumpuan terhadap Muhammad Danial suatu tindakan tepat,” katanya.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Empat lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini, atas kesalahan dadah.
  • KUALA TERENGGANU - Padah mengambil tindakan sendiri dengan memukul seorang penghendap sehingga mati, lima sahabat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, hari ini.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur sehingga menyebabkan mangsa melahirkan seorang anak lelaki.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menerima sebanyak 19 aduan kes keganasan rumah tangga sejak Januari hingga Julai tahun ini.
  • KUALA TERENGGANU - Kebanyakan kes kematian akibat disengat serangga atau haiwan berbisa seperti tebuan adalah disebabkan kadar racun yang tinggi dalam badan.