KAMPUNG RAJA - Lima anggota termasuk seorang pegawai polis nyaris cedera apabila cuba ditikam seorang penjenayah tegar ketika mereka menahan suspek dalam satu operasi di Kampung Kerandang, dekat sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, suspek berusia 33 tahun yang mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan dadah cuba menikam sepasukan pegawai serta anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dengan sebilah golok pendek.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamr Mohd Rowi berkata, turut ditahan, seorang rakan suspek berusia 49 tahun yang pernah ditahan polis sebanyak 15 kali kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

Menurutnya, sebelum itu pasukan tersebut pergi ke sebuah rumah dan melihat dua suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik memperkenalkan diri, suspek cuba mengeluarkan sebilah pisau berhulu dari sarungnya yang berada di celah pinggang seluar, dipercayai untuk menikam anggota polis bagi mengelak dia ditahan.

“Bagaimanapun, pasukan tersebut berjaya memegang tangannya dan berlaku pergelutan sebelum pisau itu dirampas polis. Syukur tak ada pegawai dan anggota yang cedera,” katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek kedua berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan di tempat kedua-dua suspek ditahan menemui satu kotak rokok warna merah mengandungi satu tiub serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

Menurutnya, turut dirampas ialah sebilah pisau berhulu seterus suspek ditangkap untuk tindakan lanjut dan saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis heroin.

“Suspek yang bertindak agresif itu masih bujang dan beralamat di kampung sama. Dia mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk curi motosikal, malah pernah menyerang polis yang cuba menangkapnya dengan parang berkait kes curi motosikal.

“Kedua-dua mereka adalah penjenayah tegar kerana tidak pernah serik walaupun masing-masing sudah lebih 10 kali ditangkap termasuk menjalani hukuman penjara,” katanya.

Tambah Mohd Zamri, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta kerjasama masyarakat agar melaporkan kepada polis jika mengetahui terdapat pusat penagihan dadah termasuk di rumah masing-masing bagi tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut, Asisten Superintendan Ahmad Yanee Nazir di talian 09 6956222.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOMBAK - Seorang pekerja kedai runcit maut ditikam, manakala seorang lagi cedera dalam kejadian di Taman Selayang, Batu Caves, di sini, tengah malam tadi.
  • BATU PAHAT - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun dan tikam yang menyebabkan seorang wanita maut di Taman Sutera Yong Peng, awal pagi, Selasa lalu.
  • SHAH ALAM - Seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU), yang disyaki menikam rakan baiknya sehingga menyebabkan kematiannya di sebuah rumah di Klang semalam, direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
  • JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh anak lelakinya yang berusia 17 tahun di sebuah rumah di Taman Nusa Bestari di sini, semalam.
  • KOTA BHARU - Seorang penganggur tidak mengaku salah di mahkamah majistret, di sini, tadi, atas tuduhan menikam rakan abangnya dengan pemutar skru, minggu lalu.