KUALA TERENGGANU - Cuaca sejuk melanda Terengganu sejak minggu lalu mendapat pelbagai reaksi terutama dalam kalangan mereka yang sering berdepan dengan cabaran cuaca panas untuk ke suatu destinasi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan penduduk di negeri ini merasai perubahan cuaca itu walaupun suhu pada hari ini mencatatkan bacaan pada 26 c° darjah celcius.

Seorang murid, Nur Ain Balqis Shahira Mohd Izwan, 10 dari Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2 (SKSS2), di sini, mengakui seronok dengan cuaca sejuk yang melanda negeri ini.

Katanya, walaupun sesi persekolahan agak meletihkan, namun, cuaca sejuk membuatkan dia berasa lebih segar dan selesa.

"Kalau sebelum ini bahang cuaca panas membuatkan saya selalu berpeluh dan kadang-kadang tak dapat tumpu perhatian, hari ini keadaan agak berbeza.

"Saya harap selepas ini akan merasai lagi cuaca begini, dapat menghirup udara segar. Kalau boleh nak cuaca sejuk macam ni selalu," katanya.

Sementara itu, adiknya, Nur Ain Bella Batrisya, 8, yang juga bersekolah di SKSS2 berkata, ini pertama kali dia merasai cuaca sejuk begini sejak bersekolah.

Katanya, cuaca sejuk begini membuatkan dia berasa seronok ke sekolah dengan dihantar menaiki motosikal.

"Sebelum ini ayah hantar pergi sekolah waktu pagi. Masa naik motosikal tak panas sebab awal pagi. Bila mak ambil masa pulang dari sekolah waktu tengah hari. Memang terasa bahang panas.

"Tapi, hari ini rasa seronok sebab cuaca sejuk macam kat luar negara," katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan beberapa kawasan di negara terutama di selatan semenanjung merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah celsius.