JERANGAU – Usia bukan halangan buat seorang warga emas berusia tiga suku abad yang mempunyai minat mendalam untuk menyertai Musabaqah al-Quran peringkat daerah.

Dalam keadaan nafasnya yang sering tersekat-sekat atas faktor usia, dia nekad untuk memperdengarkan bacaan biarpun terpaksa berentap dengan individu lain yang jauh lebih muda daripadanya.

Bagaimanapun, segala usahanya tidak sia-sia apabila warga emas berkenaan, Atikah Hussin, 75, turut terpilih menduduki salah satu daripada tiga pemenang utama kategori Qariah sempena Musabaqah al-Quran peringkat daerah yang berlangsung di Masjid Jerangau, malam kelmarin.

Atiqah yang juga guru kelas al-Quran di Kampung Santong ketika ditemui ternyata terharu atas penghargaan diberikan juri yang tidak mengetepikan beliau ketika mengadili kesemua lapan peserta yang bertanding.

“Alhamdulillah, segala penat lelah saya berulang alik ke Jerangau untuk mempelajari teknik membaca al-Quran dengan seorang guru tidak sia-sia.

“Kemenangan ini biarpun hanya di tempat ketiga namun memberi semangat kepada saya untuk terus mendalami ilmu membaca al-Quran,” katanya yang juga seorang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Atikah pada usia mudanya pernah muncul johan qariah pada satu majlis musabaqah al-Quran di Bukit Besi.

Tempat pertama kategori Qariah menjadi milik Narasid @ Noraisah Ali dari Che Lijah manakala Fatimah Ismail dari Jerangau di tempat kedua.

Johan Qari pula jatuh kepada Aziz Mohamad dari Al-Mukhtafi Billah Shah, Abdul Hamid Abdullah dari Padang Pulut di tempat kedua manakala Abu Talib Yahya dari Che Lijah di tempat ketiga.

Johan Qari dan Qariah akan berentap di peringkat negeri pada 15 Mei nanti.

Pemenang membawa hadiah tunai serta sijil penghargaan yang disampaikan Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh.