MARANG - Nelayan sungai Pengkalan Berangan di sini, bimbang dengan kehadiran 'sang bedal'di tebing lubuk di kawasan Kuala Chador dan Kuala Temala sejak tiga hari lalu.

Kehadiran reptilia itu beberapa kali sejak kebelakangan ini juga mengakibatkan penduduk setempat takut untuk menghampiri tebing sungai kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

Kini penduduk khususnya golongan mencari rezeki dengan hasil Sungai Pengkalan Berangan menjadi semakin bimbang berikutan hujan lebat menyebabkan limpahan air di sungai itu.

Seorang pemuda yang berjaya merakam kehadiran sang bedal itu, Wan Muhammad Ayub Wan Jusoh, 24, berkata, reptilia itu beberapa kali kelihatan 'berehat' di tebing sungai kebelakangan ini.

"Tiga hari lalu, buaya itu naik ke tebing, kelmarin naik lagi namun saya hanya tengok dari jauh. Semalam, buaya itu tidak kelihatan sebab kawasan tebing sungai dinaiki air kerana hujan lebat.

"Saiznya agak besar sebesar tempat duduk (palana) motosikal, ia timbul di tebing lubuk Asong dekat Kuala Chador," kata anak kedua daripada tujuh adik-beradik kepada Sinar Harian, hari ini.

Wan Muhammad berkata, ketika ini masyarakat nelayan sungai di kawasan itu aktif turun menangkap hasil sungai di beberapa lubuk Sungai Pengkalan Berangan berikutan musim ikan baung dan udang galah.

Menurutnya, apa dibimbangkan adalah keselamatan penduduk khususnya yang suka memancing di kawasan pinggir sungai walaupun sehingga hari ini reptilia itu tidak pernah menggangu manusia.

Ketika ditanya antara faktor menyebabkan buaya itu kerap kelihatan, katanya, ramai yang berpendapat buaya itu timbul kerana habitat haiwan itu diganggu dengan aktiviti menuba udang dan ikan.

"Aktiviti ini sebenarnya sudah lama berlaku di beberapa kawasan lubuk di Sungai Pengkalan Berangan dan ia menjadi semakin aktif ketika musim udang galah dan ketika musim air surut," katanya.