KUALA TERENGGANU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Kalong, Kemaman diperhebat dengan bantuan enam penyelam dari TLDM Kuantan dan tujuh bot nelayan tempatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zailani Mohamad berkata, radius kawasan pencarian juga dibesarkan kepada tiga kilometer ke kiri dan tiga kilometer ke kanan, dari kawasan mangsa dikhuatiri lemas.

Selain itu, orang awam turut membantu dengan membuat pencarian dari atas menggunakan dron.

“Bagi penyelaman, kita menggunakan khidmat 10 anggota bomba dari pasukan skuba manakala pasukan skuba TLDM seramai enam orang. Kita membuat penyelaman secara bergilir-gilir sehingga jam 5.30 petang.

“Keadaan ombak pada sebelah pagi agak tenang dan tidak begitu bergelora tetapi bermula dari jam tiga petang, angin masih kuat dan ombak besar. Walaupun ombak bergelora, kita masih membuat selaman dan kita ‘spot’ kawasan-kawasan yang kemungkinan mangsa akan dijumpai, tetapi tidak bernasib baik.

“Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) pula menumpukan kepada pencarian di laut yang lebih dalam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagi pencarian di air, tiga bot bomba, sebuah bot polis, sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan tujuh bot nelayan digunakan, dengan radius pencarian dibesarkan kepada tiga kilometer dari tempat mangsa dikhuatiri lemas pada sebelah petang, berbanding hanya dua kilometer pada sebelah pagi.

Antara bot yang digunakan dalam operasi SAR itu.

Manakala radius pencarian dari kawasan teluk menuju ke laut ditingkatkan kepada satu kilometer.

“Kita tangguhkan operasi pencarian di air pada jam 6.30 petang, tetapi kerja-kerja membuat pencarian di pesisir pantai terus dijalankan secara berkala. Kita akan membuat rondaan berkala secara berkumpulan di zon yang telah ditetapkan, yang mana kita buat dua jam setiap rondaan,” katanya.

Setakat jam 6.30 petang ini, hanya seorang mangsa yang dijumpai, iaitu Shahir Aqil Shahrun, 19, iaitu kira-kira jam 4.30 pagi tadi, pada jarak 500 meter dari Pos Kawalan Bomba di pesisir pantai.

Dua lagi mangsa yang masih hilang, dikhuatiri lemas iaitu Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, 19, dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19.

Ketiga-tiga remaja terbabit bersama rakan mereka ke pantai tersebut untuk mandi bersama kira-kira 6.15 petang semalam, namun tiba-tiba ombak besar berlaku sehingga mereka gagal berenang ke pantai sebelum dibawa arus deras.