KUALA BESUT- Mayat seorang nelayan yang hilang selepas terjatuh daripada bot nelayan yang dinaikinya sejak Isnin lalu ditemui berhampiran Tanjung Basi, perairan Pulau Perhentian  jam 9.45 pagi tadi.

Mayat Mohamad Azmi Adam, 19, dari Kampung Pantai Geting, Tumpat, Kelantan, ditemui terapung oleh ahli keluarganya sebelum dibawa ke jeti Tok Bali.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa dilaporkan jatuh pada jam 3.40 pagi, Isnin lepas.

Menurutnya, mangsa dijumpai dalam keadaan terapung lengkap berpakaian oleh ahli keluarga yang turut melakukan kerja mencari dan mengesan mangsa.

"Sebaik mayat dijumpai, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis, kemudian dibawa ke darat sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, operasi dan menyelamat turut membabitkan pelbagai agensi seperti polis, pasukan  bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Maritim, Polis Marin dan orang kampung.

Menurutnya, mayat tiba di Unit Forensik Hospital Besut  kira-kira jam 1 petang tadi.

Sementara itu ibu mangsa, Che Yah Che Omar, 49, turut turun ke laut menaiki bot gentian kaca sepanjang usaha mencari mangsa dijalankan sejak Isnin lepas .

Menurut Che Yah, walaupun dia tidak pernah turun ke laut tetapi kerana tekad ingin  mencari sendiri mayat anaknya menyebabkan dia menyertai usaha mencari.

"Syukur saya tidak mabuk laut dan dapat ikut mencari mayat anak saya dan sekarang syukur kerana mayatnya saya sendiri jumpa," katanya.

Katanya, dia mengesyaki anaknya diserang sawan ketika berada di tepi bot nelayan yang kemudiannya menyebab  dia terjatuh ke laut.

Menurutnya, anak keempat daripada enam beradik itu pernah menyuarakan hasratnya untuk berhenti menjadi nelayan kepada kawan bapanya.

"Dia kata kali ini adalah yang terakhir dia keluar sebagai nelayan kerana selepas pulang menangkap ikan kali ini dia tidak mahu jadi nelayan dah.

"Rupa-rupanya apa yang diperkatakannya benar iaitu kali ini adalah yang terbaik terakhir dia keluar menangkap ikan dan dia pergi untuk selamanya," katanya.