KUALA TERENGGANU - Penganjur Karnival Makanan Thai kecewa nama program mereka disalah guna sehingga menjejaskan reputasi syarikat yang melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Thailand.

Penganjur karnival, JSL Event and Management, Lew Yaw Wah berkata, dia amat terkejut dengan laporan yang mengaitkan nama karnivalnya sedangkan masalah yang menjadi tular di media sosial adalah masalah di tapak program berlainan.

Katanya, secara kebetulan, terdapat dua program berkait makanan Thailand dalam masa sama, di daerah ini iaitu masing-masing di dua lokasi berasingan.

“Satu di Dataran Shahbandar dan satu lagi yang saya sendiri punya di Dataran Majlis Amanah Rakyat (Mara). Dua program ini berlainan, penganjur dan nama program pun berbeza.

“Saya cukup kecewa kerana di sini (Karnival Makanan Thai) tiada sebarang masalah dan semua peniaga berpuas hati dengan penganjuran ini malah mendapat sambutan orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas satu laporan yang menggunakan nama programnya, di sini, semalam.

Ekoran itu, Lew bimbang syarikatnya tidak lagi dapat berurusan dengan Kerajaan Thailand pada masa akan datang sedangkan sebelum ini mereka sering melakukan kerjasama.

Sementara itu, wakil Thailand, Nooreeya Che Husin berkata, peniaga yang terlibat di Karnival Makanan Thai itu terdiri daripada peniaga asnaf dari Thailand.

Mana mungkin penganjur mahu menindas mereka dengan memberi tekanan sepertimana laporan yang disiarkan.

“Di sini ada 40 gerai dan 36 daripadanya adalah usahawan dari Thailand dan mereka ini dipilih untuk menyertai karnival bagi membantu meningkatkan jualan mereka kerana mereka adalah orang miskin.

“Semua bahan mentah diuruskan pihak penganjur dan mereka datang secara sah malah mendapat kelulusan dari semua pihak berkuasa Thailand dan Malaysia.

“Mereka juga tidak pernah merungut mengenai penganjuran di sini (Karnival Makanan Thai) kerana mereka dijaga dengan baik oleh penganjur iaitu encik Lew (JSL Event and Management),” jelasnya yang mahu masalah itu tidak menjadi salah faham di antara Kerajaan Thailand dan penganjur.

Peniaga, Chairat An-Atan pula berkata, dia suka mengikuti karnival itu dan mendapat ramai pelanggan malah tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak penganjur.

“Semua ok, sudah dua kali saya menyertai karnival ini bersama penganjur sama di tapak ini (Dataran Mara), tiada sebarang masalah, dia banyak tolong kami,” katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Aishah Lue Baesa pula berkata, orang ramai datang ke karnival itu dan dia gembira dapat bersama dengan penganjur malah tiada masalah yang dihadapi sepanjang bekerjasama dengan penganjur.

“Saya berpuas hati dengan penganjur dan semua bagus, cuma perlu jaga kebersihan dan kami peniaga di sini ikut semua peraturan yang telah ditetapkan kerajaan Malaysia termasuk menyediakan makanan halal kepada pelanggan.

“Bahan mentah pun kami dapatkan daripada pembekal di sini yang diuruskan penganjur, kami cuma datang bawa peralatan memasak dan berniaga macam biasa,” ceritanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang bagi mengekang salah guna darjah kebesaran Negeri Sembilan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) dijadualkan 8 Ogos ini.
  • IPOH - Pihak polis digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dipercayai menyalahgunakan dokumen peribadi milik Penolong Setiausaha Organisasi Pemuda DAP (Dapsy) Perak.