KUALA NERUS - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Malaysia sedia sepenuhnya bagi menghadapi musim monsun timur laut yang dijangka bermula pertengahan November ini dan kemungkinan air pasang besar dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abd Rashid Harun berkata, antara langkah yang diambil adalah  mengadakan Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut dengan memilih Terengganu sebagai negeri pertama untuk latihan itu.

Jelasnya lagi, latihan membabitkan seramai 100 peserta itu terdiri daripada semua pegawai daerah, ketua polis daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta lain-lain agensi yang terlibat secara langsung setiap kali musim banjir.

"Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa pertengahan November ini akan bermula musim monsun timur laut yang boleh membawa banjir di beberapa negeri.

"Manakala bermula Oktober hingga Disember pula dijangka berlaku air pasang besar berikutan dalam tempoh itu kedudukan bulan dan bumi selari yang boleh mengakibatkan pertembungan jika berlaku hujan lebat terutamanya di kawasan timur barat.

"Jadi, selaras dengan itu, kita tampil dengan mengadakan latihan ini supaya apabila berlaku bencana yang sebenar, semua pihak telah bersedia dan tahu tindakan yang perlu diambil.

"Selain itu, latihan ini juga bertujuan ingin memastikan semua agensi atau jabatan yang terlibat di setiap daerah saling berhubung rapat, sekaligus membolehkan bantuan segera diberikan kepada mangsa-mangsa nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan perasmian penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2017 di Batalion Sembilan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Kubang Badak, di sini, hari ini.

Menurut Abd Rashid lagi, bagi membantu melancarkan lagi pengurusan bencana, Nadma juga akan menempatkan empat pegawai terlatih di negeri-negeri berisiko banjir untuk tiga fasa itu sebelum, semasa dan selepas banjir.

Dalam pada itu, pelaksanaan skim insurans khas kepada mangsa banjir yang dianggarkan seramai 100, 000 orang di seluruh negara masih dalam proses perundingan bersama syarikat insurans.

Katanya, sebelum ini kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan insurans khas kepada rakyat yang berisiko menjadi mangsa banjir dengan setiap ketua keluarga perlu membayar RM10, manakala kerajaan akan menyumbangkan RM65.