KUALA TERENGGANU- Hajat seorang peniaga memiliki motosikal baru bukan sahaja tidak tercapai, malah lebih malang, turut berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000 kerana ditipu.

Kejadian berlaku selepas lelaki berusia 24 tahun itu melayari sebuah laman web sebelum tertarik dengan iklan jualan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dengan tawaran harga RM4,300 oleh sebuah syarikat yang beroperasi di Selangor, pada 10 Julai lalu.

Menurut sumber, mangsa yang terlalu teruja kemudian menghubungi nombor telefon tertera sebelum dijawab seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat tersebut.

"Sejurus menyuarakan persetujuan untuk membeli motosikal itu, mangsa diminta membuat pembayaran deposit berjumlah RM500.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa hanya mengikut arahan diberikan dan pada hari sama, terus memasukkan wang diminta ke dalam akaun bank diberikan.

"Bagaimanapun, selesai membuat pembayaran tersebut, mangsa dimaklumkan ada pembeli lain berminat dengan motosikal sama dan mahu membuat bayaran penuh," katanya.

Jelas sumber, suspek mengarahkan mangsa membuat bayaran penuh jika dia benar berminat mahu membeli motosikal itu dan tanpa mengesyaki apa-apa mangsa membuat dua lagi transaksi pada keesokan harinya.

"Mangsa membayar RM4,450 termasuk RM150 sebagai bayaran kos penghantaran dan suspek memaklumkan syarikatnya akan membuat penghantaran kira-kira jam 9.30 malam pada hari sama," katanya.

Sumber berkata, suspek memberi jaminan motosikal itu akan sampai pada Khamis lalu namun, mangsa mula mengesyaki dia ditipu apabila tidak menerima motosikal yang dijanjikan.

Katanya,  suspek juga gagal dihubungi sebelum mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.