MARANG –“Mok (mak cik) nak (hendak) tikar getah, kipas siling se (satu), kipas dinding se…Api (bekalan elektrik) belum ada lagi (dipasang semula) tapi mok nak minta dan perlu bantuan itu dulu,” kata Maimunah Mohamed, 59.

Maimunah adalah antara mangsa terjejas akibat bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini dan sehingga kini masih belum lagi dapat menjalani kehidupan seperti biasa setelah hampir kesemua peralatan di dalam rumahnya rosak.

Maimunah juga merupakan ibu tunggal dan tinggal di Wakaf Che Ali itu berkata, kejadian hujan lebat dan ribut itu berlaku pantas membuatkan dirinya cemas dan bimbang dengan keselamatan diri dan seorang anak perempuan tinggal bersamanya.

“Masa berlaku tu, mok terkejut dengar bunyi sangat kuat dan apabila saya lihat ke atas, rupa-rupanya  bumbung ruang tamu rumah mok semua dah tak dok doh (tiada) sebab kena hempap dengan dahan pokok durian yang tumbang pada masa tu.

“Air hujan pula masuk mencurah-curah daripada bumbung menyebabkan ruang tamu rumah dan bilik mok dilimpahi air. Kejadian itu berlaku pada 31 bulan 12 (Disember) pukul 4.00 pagi. Batang (pokok) durian timpa….atap (rumah) banyaklah rosak.

“Barang dalam rumah… tilam, habis semua rosak kena air hujan. Masa itu mok jadi bingung (dan) sampai sekarang mok masih bingung. Macam mana nak tinggal dekat rumah ini sebab semuanya sudah rosak,” katanya ditemui Sinar Harian, hari ini.

Menurut penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, hampir kesemua barang-barang dalam rumah mengalami kerosakan terutamanya yang berada di bahagian ruang tamu dan bilik tidur akibat kejadian itu.

Maimunah berkata, peralatan rumah seperti almari, katil dan barangan elektrik seperti periuk nasi elektrik, kipas angin dan televisyen tidak lagi dapat digunakan malah kejadian itu turut menyebabkan bekalan elektrik di rumahnya terputus.

“Mok masa ni tinggal menumpang di rumah rakan. Dia pun ibu tunggal juga. Macam mana nak tinggal kat rumah sendiri... Kena beli tikar getah…tilam dan kena gantikan kipas angin yang rosak…periuk nasi pun habis rosak, mok mana ada duit,” katanya.  

Ketika ditanya mengenai bantuan diterima setakat ini, katanya, bantuan atap baharu telah diterima malah atap rosak telah pun digantikan serta bantuan itu disalurkan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wakaf Dua di sini.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut difahamkan Maimunah turut menerima sumbangan wang tunai daripada Pegawai Penyelaras Dun Alur Limbat, Saiful Bahri Baharuddin yang datang melawat selepas kejadian itu menimpa ibu tunggal terbabit.

Bagi yang ingin membantu menyalurkan bantuan sewajarnya kepada ibu tunggal terbabit untuk meneruskan kehidupannya yang serba kekurangan itu kembali seperti sedia kala boleh menghubungi anak perempuannya di talian 013 9449261.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 46 mangsa banjir daripada 13 keluarga berikutan limpahan air sungai berdekatan di kawasan Bukit Pinang dekat sini, ditutup sepenuhnya 10.30 pagi ini.
  • RANTAU PANJANG - “Saya ikhlas, bukan berlakon atau menunjuk-nunjuk,” komen Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff selepas gambarnya mengharung banjir hampir 1.5 meter sambil menjunjung beras tular di laman sosial.
  • TANAH MERAH - Sebuah stesen minyak di Kampung Belimbing, dekat sini, antara paling teruk terjejas apabila banjir gelombang pertama melanda beberapa kawasan di daerah ini, minggu lalu.
  • ALOR SETAR - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar bersedia untuk memindahkan penduduk kampung sekiranya kawasan kediaman mereka mula dinaiki air berikutan fenomena Monsun Timur Laut.
  • KEPALA BATAS - Penduduk Kampung Lapangan Terbang di sini terpaksa berpindah kali keempat dalam tempoh empat bulan akibat banjir yang melanda kampung mereka.