KEMAMAN - Pegawai turus perlesenan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman yang baharu berkuatkuasa, semalam.

Mohd Haki, 47, mengisi kekosongan jawatan yang selepas pertukaran Superintendan Baharuddin Abdullah sebagai Ketua Polis Daerah Dungun yang baharu dua bulan lalu.

Selama dua bulan dikosongkan, jawatan itu dipangku sementara oleh Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah.

Mohd Haki berkata, beliau akan memberi sepenuhnya komitmen untuk merealisasikan visi dan misi pasukannya.

Katanya, pertukarannya ke Kemaman memberi cabaran baharu kepadanya mengambil kira jumlah warga IPD Kemaman yang berjumlah kira-kira 400 orang berbanding ketika beliau di IPK, hanya menguruskan 30 pegawai anggota dan kakitangan awam sahaja.

"Namun, kekuatan yang ramai ini beri peluang kepada saya untuk atur strategi dalam membantu ketua polis daerah terutama dalam aspek pencegahan jenayah," katanya.

Menurutnya, beliau juga bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan guru-guru disiplin dan kaunselor tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman antara beliau dan Mohd Khairi, semalam.

Majlis itu berjalan serentak dengan serah terima tugas Ketua Polis Balai Ayer Jerneh dan Ketua Polis Balai Ayer Puteh yang dilakukan ekoran persaraan kedua-duanya.

Sarjan Mejar Zamri Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Balai Polis Ayer Jernih yang baharu menggantikan Sarjan Mejar Zulkifli Che Mat manakala Sarjan Dzulnaidi Husin pula mengisi jawatan Ketua Polis Balai Polis Ayer Puteh yang dikosongkan Sarjan Mejar Mohamad Yusuf.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim.