BESUT - Atlet muay thai Terengganu, Mohd Azizi Shamsuddin, 19, menjadi sandaran utama Terengganu untuk menggondol pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke 19 bagi acara tersebut yang akan berlangsung di Perak pada 12 hingg 22 September ini.

Ketua Jurulatih Muay Thai Terengganu, Hafiz Rozaidi Ramli berkata, harapan tersebut diletakkan di bahu Muhammad Azizi berdasarkan prestasi  dan percapaian atlet itu dalam  pertandingan disertainya sebelum ini.

Menurutnya, anak kelahiran Kampung Cherang Meliling, Jertih, di sini itu pernah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai atlet terbaik kejuaraan Muay Thai Antarabangsa Ambassador di Bangkok, Thailand pada Jun lepas.

“Selain Mohd Aziz yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Hulu Besut itu, pasukan Muay Thai Terengganu juga meletakkan sasaran bonus emas kepada Fazaki Zaki, 19, sekaligus untuk mencapai sasaran dua emas termasuk satu bonus,” katanya.

Hafiz berkata lagi, seramai 15 atlet terdiri daripada sembilan lelaki dan enam   wanita berusia 16 hingga 21 tahun akan beraksi dalam kategori berbeza.

Menurutnya, Muay Thai Terengganu turut mensasarkan sebanyak dua pingat perak dan tiga gangsa menerusi atlet yang diketengahkan itu.

“Semua atlet sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk berdepan dengan beberapa saingan utama seperti pasukan Kelantan  pada sukan tersebut.

“Atlet menjalani  latihan secara  berkala dalam dan luar negara  selain setiap dua minggu , mereka terlibat dalam kejohanan tinju terutama yang berlangsung di Kelantan,” katanya.

Hafiz berkata, mereka giat menjalani latihan sejak awal lagi  di bawah bimbingan dan tunjuk ajar  tiga jurulatih berpengalaman.

“Sebahagian mereka menjalani latihan di Pusat Latihan Muay Thai Inai Bagong di Kampung Kayu Kelat, Hulu Besut  dan latihan di Phuket, Thailand pada Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, atlet turut dibiasakan menyertai mana-mana pertandingan Muay Thai bertujuan membiasakan mereka dalam suasan pertandingan di samping menjadi mereka seorang berpengalaman.

Hafiz memberitahu lagi, kesemua atlet tersebut kini sedang menjalani latihan persiapan akhir di Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu sebelum berangkat ke Perak pada 12 September ini.

Menurutnya, pasukan Muay Thai Terengganu diharapkan dapat menyumbang pingat lebih daripada yang disasarkan.

“Terengganu mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan ini, apatah lagi kelapan-lapan atlet lelaki yang menyertai sukan ini mempunyai bakat yang besar,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun dilantik sebagai bapa angkat kepada sukan ini.