KUALA TERENGGANU – Sekolah-sekolah di bawah kelolaan kerajaan negeri terutamanya Sekolah Imtiaz diminta mewujudkan satu modul khusus kepada pelajar melakukan pelbagai aktiviti di Muzium Negeri sama ada kajian mahupun tugasan .

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu penting bagi ‘menghidupkan’ muzium negeri yang merupakan tempat sebaran ilmu dan maklumat mengenai budaya, adat Melayu dan sosiologi masyarakat Terengganu.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya yang juga merupakan  Pengerusi Lembaga Muzium Negeri membincangkan perkara itu dengan pihak pengurusan sekolah.

“Saya minta sekolah di bawah kerajaan negeri mempunyai satu modul yang khusus kepada anak-anak ini untuk datang ke muzium dan membiasakan diri mereka dengan bahan-bahan muzium seperti membaca dan sebagainya serta ada tugasan yang perlu dibuat.

“Contohnya, ada pelajar yang berminat berkaitan tentang kendi, jadi mereka boleh membuat penulisan tentang kendi untuk mereka lebih faham tentang sejarahnya, pengunaan, bahan dan sebagainya.

“Kita bertanggungjawab untuk memberi maklumat kepada generasi baru ini dari peringkat awal supaya anak-anak minat kepada muzium dan bahan-bahan sejarah,” katanya katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Kearifan Tempatan - Tekstil 2018 di Dewan Batu Bersurat, Kompleks Muzium Negeri, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A Kassim dan Pengarah Muzium Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.

Dr Ahmad Samsuri berkata, penglibatan pelajar sekolah Imtiaz di muzium negeri sebagai salah satu sumber pendidikan dijangka bermula dalam masa terdekat dan beliau berharap sekolah kendalian kerajaan pusat turut mengambil langkah sama.

“Rugi sekiranya bangunan muzium yang begitu cantik dan besar ini tidak dijadikan tempat yang penting untuk dikunjungi,” katanya.