MEMBONGKAR kembali nama ‘Batu Burok’, sebenarnya terdapat mitos misteri yang pernah diceritakan orang lama dari Kampung Batu Burok, Kuala Terengganu berhubung kisah pergaduhan dua beradik dari kerabat diraja (tiada kaitan dengan raja Terengganu) yang disumpah menjadi bongkah batu.

Salah seorang daripadanya dikatakan disumpah menjadi batu di daratan, manakala seorang lagi di laut, sehingga digelar sebagai Kampung Batu Burok memandangkan kedua-dua bongkah batu berkenaan berada di dalam kampung itu.

Dikatakan, bukit yang kini dijadikan bukit air terjun di Jalan Kamarudin itu adalah salah seorang daripada anak raja yang disumpah, manakala bongkah batu yang dapat dilihat di tengah laut di pantai Batu Burok pula mewakili seorang lagi anak raja yang bergaduh sesama mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zulkepeli Yusof berkata, dia tidak pasti sama ada cerita itu benar-benar berlaku atau hanya sekadar mitos tetapi dalam masa sama, dia tidak menafikan keadaan kedua-dua bongkah batu di darat dan laut itu memang berlumut dan kelihatan sangat buruk.

Malah katanya, setelah sumpahan yang sekali gus melenyapkan keturunan diraja itu, imam masjid mengambil alih tugas-tugas menguruskan segala keperluan penduduk kerana ketika itu, belum tertubuhnya JKKK atau ketua kampung.

Bagaimanapun, kampung itu kini bertukar wajah dan pantas membangun berbanding kampung sekitar kerana menjadi kawasan tumpuan, apatah lagi menempatkan kediaman istana (Terengganu) dan penempatan kakitangan tertinggi kerajaan.

“Kampung ini sudah lama membangun berbanding kampung-kampung sekitar kerana masjid yang ada sekarang ini sudah mencecah usia 100 tahun, cuma sudah diubahsuai menjadi masjid batu yang pada asalnya daripada kayu,” katanya.

Kampung itu juga dahulunya terdapat sebuah padang golf yang cukup terkenal di seluruh dunia sehinggakan penduduk dari negara Jepun datang ke Terengganu untuk bermain golf.

Namun, bermula tahun 1980-an, kampung itu mula membangun dan dalam masa sama, ketua kampung diwujudkan bagi menguruskan pentadbiran keseluruhan kawasan kampung.

Percaya atau tidak, Kampung Batu Burok dahulunya adalah satu kawasan yang begitu luas iaitu bermula dari bangunan Hospital Sultanah Nur Zahirah sehinggalah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman.

Tetapi kini hanya merangkumi tiga kilometer persegi sahaja, dengan hampir 2,400 penduduk termasuk dari Taman Kenanga.

“Bila sudah dikecilkan begini dan mempunyai beberapa JKKK dalam Dun Batu Burok, ia lebih tersusun dan memudahkan urusan penduduk,” katanya.

“Pada awal penubuhan ketua kampung, terdapat kampung-kampung kecil di bawah seliaan Ketua Kampung Batu Burok antaranya Kampung Tok Dor, Masjid, Bembang, Bukit, Che Kundur dan Atas Gong yang kemudian dipecahkan sedikit demi sedikit bagi memberi ruang kepada ketua kampung mentadbir penduduk dalam kuantiti bersesuaian,” katanya lagi.

 

Punyai pelbagai kemudahan asas

Kampung Batu Burok yang jaraknya hanya 2.5 kilometer dari pusat bandar mempunyai pelbagai kemudahan, termasuklah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Taman Rekreasi Batu Burok, Hospital Pakar Kuala Terengganu, kediaman rasmi Menteri Besar, kuarters kerajaan, gelanggang futsal, pejabat-pejabat swasta serta hotel

Boleh dikatakan banyak kemudahan dan fasiliti yang terdapat di Kampung Batu Burok, menyebabkan ramai bertumpu di kawasan terbabit.

Namun begitu, setiap pembangunan yang tumbuh di kampung berkenaan, tidak sesekali melibatkan penempatan penduduk, malah memberi banyak manfaat kepada penghuni di kampung itu.

“Dengan adanya pembangunan di sini, penduduk kampung dapat membina homestay dan mengisi kekosongan jawatan yang diperlukan terutama dalam bidang perhotelan dan sebagainya,” jelasnya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TIDAK ramai menyedari kewujudan tapak Mitos Sungai Pinggan yang terletak Kem Karisma memandangkan lokasinya agak terpencil di kawasan benteng Sungai Pinggan, Benut.
  • MELAKA - Semua pihak termasuk ahli sejarah dan akademik perlu menampilkan bukti kukuh dan tidak bergantung kepada penafian serta keraguan berdasarkan teori semata-mata jika mahu berterusan mendakwa Hang Tuah suatu figura mitos.
  • LENGGONG - Mungkin kedengaran agak pelik, namun serangan gajah di Kampung Chepor, di sini dikaitkan dengan mitos haiwan tersebut menziarahi kubur saudara mereka yang mati ditembak puluhan tahun lalu.
  • PERSOALAN sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud atau hanya sekadar kisah mitos Melayu sering bermain di fikiran tatkala nama hulubalang Melayu itu disebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.