KEMAMAN – Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah selama empat hari selepas pergi menjenguk kebun buah-buahan miliknya terjawab selepas ditemui lemas dalam Sungai Cerul berdekatan Kampung Lubuk Batu, Bandar Cheneh Baharu, di sini.

Mayat mangsa, Hazron Yussof, 54, dijumpai sekumpulan pemancing dalam keadaan terapung dan tersangkut pada beberapa batang kayu, kira-kira jam 1 petang semalam.

Susulan itu kumpulan pemancing terbabit menghubungi dan melaporkan penemuan  berkenaan kepada pihak polis.

Mangsa yang tinggal bersama anak sulungnya, Hazrina Hazron, 34, di Bandar Ceneh Baharu dikatakan keluar dari rumah sejak 2 Ogos lalu untuk ke kebunnya di Kampung Lubuk Batu.

Ketika keluar dari rumah  kira-kira jam 5 petang dengan menunggang motosikal keseorangan, mangsa juga dikatakan hanya berbaju T dan berseluar pendek.

Menyedari bapanya tidak pulang ke rumah dan setelah mencarinya di kebun namun gagal menjumpai, Hazrina bertindak membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira jam 1 petang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, selepas menerima maklumat mengenai penemuan mangsa, sepasukan anggota polis dari Balai Cheneh Baharu terus bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, beberapa pemancing yang berada di lokasi turut membantu anggota polis menaikkan mayat mangsa ke dalam sebuah bot gentian kaca dan membawanya ke daratan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Kematian mangsa dipercayai berpunca daripada lemas dan siasatan awal mendapati ia tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Dua lelaki dilaporkan hilang manakala seorang berjaya menyelamat diri apabila bot dinaiki mereka karam ketika menangkap ikan di Empangan Bekok, Yong Peng, di sini, hari ini.
  • NIBONG TEBAL - Mayat seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada sampan ketika menjala udang di Sungai Kebun Baru, Byram ditemui pagi semalam.