KUALA NERUS - Program Mini Ekspo Terengganu yang akan dilaksanakan di semua daerah di negeri ini akan diketuai pegawai daerah masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program tiga hari dua malam itu juga akan mempamerkan kisah kejayaan serta perancangan yang dilaksanakan di daerah terbabit pada masa akan datang.

Beliau berkata, program itu diadakan adalah untuk membolehkan kerajaan negeri memberi khidmat kepada rakyat di semua peringkat serta lebih menyeluruh.

"Apa yang kerajaan negeri buat ini (mini ekspo Terengganu) kita tidak mahu retorik. Tidak mahu hanya cakap politik..beritahu macam-macam tetapi rakyat tidak dapat lihat.

"Jadi elok kita buat konsep ini supaya rakyat dapat lihat dan akhirnya rakyat boleh buat keputusan..keputusan kita serah kepada rakyat. Tetapi jangan pula terpengaruh dengan fitnah," katanya ketika ditemui sebaik selesai menyempurnakan majlis perasmian Karnival Cakna Rakyat Dun Teluk Pasu di Kampung Banggol Tok Esah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Dun Teluk Pasu, Che Mansor Salleh.

Menurut Ahmad Razif, antara pengisian lain dalam mini ekspo itu nanti adalah Jualan Sentuhan Rakyat, pameran agensi kerajaan serta jualan.