KUALA TERENGGANU - Skuad futsal Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu akan menguji prestasi dan kekuatan sebenar pasukan pada saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 yang bakal membuka tirainya di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam Sabtu ini.

Ketua jurulatihnya, Mohd Rozairi Ahmad berkata, saingan yang berlangsung sehingga Julai itu bakal menjadi medan terbaik buat anak buahnya untuk menterjemahkan segala yang dipelajari dalam sesi latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukma Perak September depan.

Menurutnya, perlawanan yang lebih kompetetif itu dijangka bukan sahaja mampu memberi pendedahan kepada pemain bahkan membantu menilai sejauh mana kemampuan mereka bersaing serta mengadaptasi strategi dan taktikal yang diterapkan sepanjang mereka menjalani latihan.

“Sebenarnya kita sudahpun membentuk pasukan dan menjalani latihan bersama secara intensif sejak lebih empat bulan lalu dengan mempertaruhkan 17 pemain terbaik bagi membawa cabaran Terengganu FC di LKF Sabtu ini.

“Menerusi pendedahan saingan setiap minggu itu nanti, ia secara tidak langsung dapat membantu mengekalkan stamina perlawanan mereka sebelum turun menyahut cabaran Sukma Perak nanti,” katanya ketika ditemui selepas menjalani rutin latihan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, bekas pemain skuad bola sepak pantai kebangsaan itu mengakui skuad bimbingannya itu tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk turun membawa cabaran di LFK dan Sukma Perak berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan pemain.

Katanya, menerusi beberapa pendedahan aksi persahabatan dan kejohanan yang disertai sebelum ini pasukannya berjaya mempamerkan aksi membanggakan sekaligus memberi keyakinan buat mereka untuk membawa misi lebih lebih mencabar terutamanya dalam LFK Sabtu ini.

“Malah kejayaan ketika muncul selaku juara Kejohanan Futsal Jemputan Kelantan bulan lalu turut menguatkan lagi semangat pasukan untuk tampil memperagakan aksi lebih menyakinkan.

“Jadi apa yang diharapkan agar pemain dapat menjadikan saingan LFK itu nanti sebagai platform terbaik buat mereka dalam membuktikan kemampuan masing-masing untuk memburu kilauan emas buat kontinjen Terengganu di temasya Sukma Perak,” katanya.