KUALA NERUS - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar lama Kompleks  Taman Ilmu di Tembila, Besut yang bertujuan untuk memberi gambaran buruk terhadap imej kerajaan negeri.

Jelas Ahmad Razif lagi, kesemua gambar yang tular kembali beberapa hari lalu yang memperlihatkan siling bocor, peralatan rosak dan sebagainya itu sebenarnya diambil ketika kawasan berkenaan terbengkalai dan belum dibaiki.

"Dengan apa yang dilakukan ini (sebar gambar lama) merupakan satu cubaan untuk gagalkan usaha kerajaan negeri membangunkan kembali kawasan berkenaan.

"Bayangkan kalau ada pelabur atau mana-mana syarikat yang berminat untuk melabur namun disebabkan perkara tidak betul (sebar gambar lama) ini mungkin ada yang menarik balik hasrat mereka itu.

"Kerugian bukan sahaja terpaksa ditanggung kerajaan, tetapi juga rakyat setempat kerana melalui pembangunan pesat di kawasan itu masyarakat terutamanya peniaga juga turut menikmati peluang ekonomi yang lebih luas," katanya.

Gambar-gambar lama di Kompleks Taman Ilmu Tembila yang diviral kembali pemilik salah seorang pemilik akaun Facebook sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Profesor Bersama Masyarakat di Masjid Tok Jembal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Menurut Ahmad Razif, rakyat diminta untuk tidak mudah percaya dengan berita tidak tepat itu kerana Kompleks Taman Ilmu kini semakin membangunan sejak Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) menggunakan dua blok bangunan tahun lalu.

"Dalam masa terdekat ini juga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menduduki kawasan berkenaan yang akan menempatkan enam fakulti.

"Selain itu, beberapa kolej swasta juga turut menunjukkan minat untuk menduduki kawasan berkenaan dan pada 15 Februari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh akan mengumumkan universiti baharu yang akan ditempatkan di Taman Ilmu, Tembila,"katanya.

Tahun lalu, Kompleks Taman Ilmu, Tembila itu beroperasi secara rasmi apabila Unisza menduduki dua blok bangunan di kawasaan itu tanpa sewaan selama 10 tahun, sebaliknya membiayai kos membaik pulih sebanyak RM20 juta.

Projek yang mula dibina pada tahun 2004 dengan kos yang dikatakan hampir mencecah RM400 juta di kawasan seluas 280 hektar terbengkalai lama hingga mengakibatkan banyak kerosakan pada bangunan serta kecurian kabel.