KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada dua atlet kelahiran Terengganu kerana berjaya menyumbang pingat emas dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau bangga apabila Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat emas ke-111 dalam acara pecut individu lelaki di Velodrom Nasional di Nilai, malam tadi.

“Walaupun terjatuh dalam separuh akhir saingan kedua, tetapi dengan semangat juang yang tinggi, beliau bangkit semula untuk menjuarai acara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut meluahkan perasaan sama di atas pencapaian pelumba trek wanita negara,  Fatehah Mustapa yang merangkul emas ke-110 dalam acara pecut individu wanita.

Ahmad Razif berkata, kejayaan anak Terengganu merupakan satu pengiktirafan besar buat rakyat dan kerajaan negeri dan kini Terengganu bukan sahaja terkenal dalam bidang pendidikan malah sebagai kuasa besar sukan negara.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni dan Fatehah, serta seluruh atlet Terengganu yang mewakili Malaysia di atas kejayaan menyumbangkan pingat emas sehingga kita berjaya mencipta sejarah buat negara kita.

“Perjalanan kita tidak terhenti setakat Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 sahaja. Teruskan perjuangan dan ciptalah lebih banyak cerita-cerita kejayaan (success stories) sehingga ke persada antarabangsa.

“Rakyat negeri Terengganu khasnya, dan Malaysia amnya sentiasa mendoakan kejayaan atlet-atlet kita,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESUT - Rakyat Terengganu digalakkan menjadi petani secara kecil-kecilan dengan berkebun di kawasan rumah sendiri bagi menjayakan Program Berbudi Kepada Tanah dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.
  • KUALA TERENGGANU - Terengganu bersedia menawarkan tempat kepada mana-mana anak Palestin yang berhasrat menyambung pengajian mereka di institusi pendidikan di negeri ini.
  • HULU TERENGGANU - Destinasi pelancongan Tasik Kenyir, di sini, kini mempunyai satu lagi daya tarikan menarik setelah pewartaannya sebagai Zon Bebas Cukai dengan aktiviti penjualan barangan dikecualikan cukai telahpun beroperasi secara rasminya hari ini.
  • MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tegas menafikan dakwaan pemimpin Pas Terengganu bahawa tawaran permohonan 5,900 lot tanah kosong untuk pembinaan rumah kediaman kepada rakyat meniru manifesto parti pembangkang itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.