KUALA TERENGGANU - Satu mayat separuh reput ditemui terapung oleh tiga nelayan bot fiber di kedudukan 10.8 batu nautika dari Pulau Kapas, Marang, petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) DM9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, sebuah bot Maritim bersama lima anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat penemuan mayat terbabit, kira-kira jam 3.37 petang.

“Pengadu bersama dua lagi rakannya memaklumkan menemui satu mayat dalam keadaan separuh reput, telengkup dan terapung, kembung, tidak berpakaian serta tidak mempunyai sebarang pengenalan diri berada jarak antara kedudukan kira-kira satu batu nautika dari bot mereka.

“Selepas berdepan sedikit kesukaran mengesan kedudukan sebenar pengadu kerana lokasi terkini yang dimaklumkan sentiasa berubah-ubah, akhirnya kami berjaya tiba di lokasi kira-kira jam 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi mencari mayat kedua belum ada petunjuk]

Menurut Rahim, mayat berkenaan berjaya dibawa pulang ke jeti DM9 kira-kira jam 6.30 petang dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Semalam, akhbar ada melaporkan satu mayat ditemui hampir reput di lebih kurang 4.6 batu nautika dari timur Pulau Kapas, Marang kira-kira jam 12 tengah hari manakala satu lagi mayat masih dalam proses pencarian.