CHUKAI - Seorang remaja lelaki maut selepas mangsa melambung ke sebatang tiang lampu sebelum tercampak ke tengah jalan dalam satu kemalangan jalan raya pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi di Kilometer 1 Jalan Chukai-Air Putih berhadapan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kemaman itu mangsa, Wan Mohamad Haziq Wan Mayu Othman, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kemalangan itu dipercayai berlaku setelah motosikal jenis Yamaha 125Z yang ditungganginya keseorangan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu bergesel dengan pengadang tengah jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pergeseran itu mengakibatkan mangsa melambung ke tiang lampu tengah jalan sebelum tercampak ke atas jalan dan pada masa sama motosikalnya turut terseret ke tengah jalan.

Menurutnya, kemalangan berlaku semasa mangsa yang baharu mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 pada Khamis lalu dalam perjalanan dari arah Chukai ke Air Putih.

Kata beliau, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Jaya, Jalan Air Putih, dekat sini.

"Akibat kemalangan berkenaan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Tempat kejadian adalah jalan dua lorong sehala, laluan lurus dan kejadian berlaku semasa keadaan jalan masih gelap," katanya.

Mohd Said berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman sebelum dituntut ahli keluarga untuk pengebumian dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.